Rabu, 22 Mei 2013

“Siapa dapat komisyen import beras Sabah?”- Dr Hiew King Cheu

Roketkini.com


LUYANG: Gelaran Kota Belud sebagai pusat penghasilan padi di Sabah hanya sekadar nama semata-mata apabila fakta menunjukkan 85 peratus keperluan beras rakyat negeri itu terpaksa bergantung kepada beras yang diimport dari luar negara.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Dr Hiew King Cheu, selain faktor itu, perusahaan penanaman padi di Sabah ketinggalan 25 tahun ke belakang berbanding negara pengeluar padi utama dunia.

“Walaupun kerajaan BN mengumumkan peruntukan jutaan ringgit untuk membangunkan industri penanaman padi negeri ini, memberi subsidi dan sebagainya, sehingga sekarang kita tidak melihat sebarang penambahbaikan yang sepatutnya.

“Sekarang, kita dapat melihat bagaimana kawasan penanaman padi semakin berkurangan secara drastik hasil import beras dari China, Thailand, Vietnam dan India,” jelas beliau dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Sabah kini terpaksa mengimport lebih daripada 220,000 tan metrik beras dari luar negara yang bernilai kira-kira RM1 bilion setahun.

“Sabah hanya mengeluarkan 15 peratus daripada hasil beras negeri itu. Apa masalah yang berlaku? Adakah isu ini mempunyai kaitan dengan tangan-tangan ghaib yang mendapat komisyen hasil import beras dari luar negara?” soal beliau.

Justeru itu, beliau berharap agar kerajaan memberi fokus terhadap pengeluaran padi negeri ini yang merupakan makanan ruji rakyat.

“Sampai bila kita, negeri Sabah akan terus berhadapan dengan masalah asasi begini. Kita tidak mahu satu hari nanti kita terpaksa berhadapan dengan masalah kekurangan makanan,” katanya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: