Rabu, 15 Mei 2013

PR sahut cabaran Ahmad Maslan

ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD

Ahmad Maslan
Datuk Ahmad Maslan 
 
PETALING JAYA - Pakatan Rakyat (PR) sedia bersemuka dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof bagi mendengar penjelasan berhubung permasalahan yang timbul dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat majlis setiausaha PR yang diadakan semalam.

"Kita sahut cabaran Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan untuk menjemput pengerusi SPR dalam program kami.

"Kami harap Tan Sri Aziz juga bersedia hadir dalam majlis yang dianjurkan PR," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika pengerusi SPR itu menolak jemputan perikatan itu, Ahmad bertanggungjawab terhadap perkara tersebut.

"Kalau Tan Sri tolak, Ahmad Maslan bantu dapatkan Tan Sri Aziz," katanya.

Hadir pada sidang media sama ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, dan Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke.

Semalam Ahmad mencabar pembangkang menjemput SPR bagi menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku pada 5 Mei lalu.

Menurut Saifuddin, PR juga bersetuju menjayakan himpunan 'Suara Rakyat Suara Keramat' di negeri-negeri berikutnya.

Katanya, ia adalah saluran terbaik rakyat Malaysia untuk menyampaikan rasa tidak puas hati mereka melalui lunas undang-undang ditetapkan.

Ketika ditanya kenapa PR begitu angresif menolak keputusan PRU13 sedangkan di negeri-negeri yang dimenangi, PR dengan cepat mengangkat sumpah membentuk kerajaan mendakwa, mereka punya bukti kukuh penyelewengan yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).

"Secara khusus kita telahpun mengenalpasti tidak kurang daripada 29 kawasan parlimen yang kita telah mengumpul bukti yang kita mempunyai sebab kukuh wujudnya penyelewengan dalam PRU13.

"Terbaru, ada laporan daripada petugas SPR di kawasan Parlimen Terenganu, calon BN kurung mereka di dalam bilik dan minta mereka memangkah kertas undi beserta nombor siri, laporan polis telah dibuat dan pengadu telah menghantar salinan laporan itu kepada skretariat PR, ini hanya secebis daripada beberapa bukti yang sedang kami kumpulkan," katanya.

Menurut beliau, kejadian yang berlaku di Besut Terenganu itu hanya salah satu contoh kejadian yang diterima, dan pihaknya sedang mengumpul bukti di kawasan lain.

"Isunya wujud beberapa bukti kuat, yang pada pandangan kami mempunyai asas yang kukuh untuk diangkat dalam tajuk penipuan PRU13 ini," katanya.

Tiada ulasan: