Jumaat, 3 Mei 2013

Polis iringi Waytha beredar selepas berceramah di Johor


MALAYSIA KINI


 
GELANG PATAH: Satu pergelutan tercetus apabila kira-kira 10 individu cuba menghalang Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy ketika beliau hendak menaiki pentas untuk berucap kepada kira-kira 300 penduduk India di Taman Nesa, Skudai.

Bagaimanapun kira-kira 30 anggota polis segera bertindak mengawal penyokong kedua-dua belah pihak daripada bergelut dan mengheret kumpulan itu pergi jauh dari khemah tempat ceramah itu diadakan.

Ceramah tersebut adalah mengenai rangka tindakan Hindraf yang ditandatangani penyandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang mendorong Waythamoorthy dan pengikutnya menyokong BN dalam pilihan raya umum ini.

Kumpulan yang cuba mengganggu ceramah tersebut diketuai oleh K Selvakumaran, yang merupakan seorang ahli PKR.

"Saya hanya mahu bertanya kepadanya satu soalan, siapakah dia untuk mewakili kaum India? Siapa yang beri kebenaran kepadanya untuk memimpin Hindraf?

"Kami datang dengan baik tetapi orang-orang Hindraf menghalang kami," katanya.

Sesetengahnya merasakan bahawa Waythamoorthy, yang tinggal di UK ketika kerajaan bertindak ke atas pergerakan itu pada tahun 2007, dan hanya kembali ke Malaysia sebelum pilihan raya umum, telah mengkhianati masyarakat India dengan menyokong BN.

"Dia boleh menyertai BN tetapi jangan mempengaruhi orang kita!" jerit seorang lelaki lain.

"Ubah! Ubah! Ubah! Bodoh! Bodoh! Bodoh!"
mereka terus menjerit, pada jarak beberapa 100 meter dari khemah tersebut ketika Waythamoorthy berucap kepada hadirin.

Waythamoorthy menggesa hadirin supaya menyokong Pengerusi BN Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang bertanding di Gelang Patah menentang ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang.

"Tolak Lim Kit Siang!" katanya.

Ketegangan tersebut berterusan selama kira-kira 30 minit selepas Waythamoorthy selesai berucap apabila kumpulan yang memprotes tersebut enggan membenarkan beliau meninggalkan tempat itu melainkan jika bersetuju bercakap dengan mereka.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Ruslan Hassan tiba dengan lebih ramai anggota dan mereka membentuk dua tembok manusia untuk memisahkan kedua-dua kumpulan itu pada jarak kira-kira 20 meter.

Waythamoorthy duduk dalam keretanya, Toyota Camry di satu penjuru manakala di satu lagi penjuru, kumpulan yang memprotes terhadapnya berteriak "Waythamoorthy "pengkhianat! Waythamoorthy "pengkhianat!".

Ruslan cuba mencari penyelesaian antara kedua-dua kumpulan berkenaan. Tidak lama selepas itu, Waytha meninggalkan tempat itu dengan dikawal polis semasa unit FRU tiba.

Tiada ulasan: