Jumaat, 17 Mei 2013

PKR kecam tuduhan terhadap Nik Nazmi

NIZAM ZAIN

Nik Nazmi Nik Ahmad
Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad 
 
PETALING JAYA - PKR mengutuk sekeras-kerasnya dakwaan ke atas Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) kerana menganjurkan perhimpunan
"Blackout 505" di Stadium Kelana Jaya, 8 Mei lalu.

Naib Presiden PKR, N.Surendran berkata tindakan itu nyata menyalahi peruntukan artikel 10 kerana perhimpunan itu dilakukan secara aman tanpa sebarang insiden yang diingini.

Sehubungan itu katanya, PKR mendesak kerajaan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya menarik balik dakwaan tersebut kerana tindakan itu dipercayai cuba menyebelahi Barisan Nasional (BN).

 "Kita mengutuk akta kerajaan Najib dan peguam negara yang ambil tindakan mahkamah terhadap penganjur perhimpunan bantah keputusan PRU13 di Kelana Jaya, 8 Mei lalu.

"... himpunan itu berlangsung dengan aman, tiada insiden buruk, tapi Najib pilih untuk ambil tindakan akta APA.

"Ini adalah cubaan mengatasi akta APA yang mereka sendiri cipta," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.
Mengikut akta Perhimpunan Aman 2012, fasal 9(1), penganjur hendaklah memberi notis kepada polis 10 hari sebelum mengadakan sebarang perhimpunan. 
Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini yang membacakan pertuduhan ke atas Nik Nazmi menyatakan beliau didakwa bawah APA kerana kegagalan menyerahkan notis 10 hari kepada polis untuk mengadakan perhimpunan 'Blackout 505' di Kelana Jaya, 8 Mei lalu.
Beliau selaku penganjur untuk Pakatan Rakyat (PR) dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 8.30 malam di Stadium Kelana Jaya.

Surendran yang juga Ahli Parlimen Padang Serai kecewa apabila sebaik sahaja Tan Sri Khalid Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Polis Negara, beliau sendiri telah bertindak melulu tanpa merujuk terlebih kepada peruntukan mengenai hak berhimpun di sisi perlembagaan.

"Ini cubaan untuk merosakkan akta itu, kita kecewa bila IGP baharu, Khalid Bakar terus bertindak.

"Mereka serang pembangkang dan gunakan akta ini semata-mata untuk menakutkan rakyat daripada keluar berhimpun," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengulangi desakannya supaya Peguam Negara menggugurkan segera dakwaan itu dan mengemukakan permohonan maaf kepada semua peserta himpunan bantahan itu kerana ia telah menghina dan menafikan hak mereka berhimpun secara aman.

Tambahnya, dakwaan  terhadap Nik Nazmi tidak sedikit pun menjejaskan siri himpunan bantahan itu di seluruh negara.

Himpunan pada 8 Mei membantah keputusan PRU13 itu dihadiri oleh hampir 120,000 peserta dan penyokong PR.

Tiada ulasan: