Rabu, 1 Mei 2013

Pilih PR untungkan negara dan rakyat

KL TODAY

 
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) berpandangan penglibatan politik adalah sebahagian daripada tuntutan Islam sebagai ad-din yang syumul. Presidennya, Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad (gambar) berkata, kuasa pemerintahan diperlukan bagi menjayakan agenda penegakan syariah dan pelaksanaan amar makruf nahi mungkar.
“Justeru, penglibatan  umat Islam di dalam PRU kali ini adalah amat penting dan dianggap kritikal untuk memilih wakil pemimpin yang mampu membantu merealisasikan cita-cita dakwah tersebut,” ujarnya dalam perutusan kepada para pengundi sempena PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei ini.


Ikram, jelas beliau merumuskan bahawa memilih wakil dari blok Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU13 kali ini adalah satu kewajaran yang lebih berasas dan menguntungkan negara dan rakyat jelata.

Rumusan itu, katanya berdasarkan kaedah dan prinsip ‘kemudharatan yang lebih ringan’ iaitu ‘pilihan terbaik di antara dua pilihan, pilihan yang lebih ringan kemudaratannya dan kurang kejahatannya’.

Beliau menjlaskan, Ikram menganggap pemilihan tersebut sebagai satu kecenderungan atau pilihan yang pragmatis yang dijangka akan lebih menyebelahi rakyat, lebih adil kepada semua, lebih bermanfaat kepada negara, lebih jujur kepada Islam dan bangsa Melayu serta lebih memantapkan institusi Raja berperlembagaan.


“Pilihan ini akan membuka lebih banyak ruang dialog, perbincangan, perundingan dan permuafakatan bagi melaksanakan agenda perubahan dan pembersihan pentadbiran dan pengurusan perjalanan negara, supaya tiada berlaku lagi salah laku dan penyelewengan pegawai-pegawai pemerintah, sekaligus menghapuskan kemungkinan rasuah,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata beliau lagi, Ikram menyeru agar ummah tidaklah perlu takut, jika pendirian politik ummah kali ini membawa kepada perubahan kerajaan di peringkat pusat.

Katanaya, kejatuhan kerajaan BN tidak akan melucutkan kuasa pemerintahan daripada genggaman umat Islam.

“Ummat Islam tetap memiliki jumlah kerusi parlimen yang cukup selesa,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, penguasaan ummah akan terus terpelihara dengan kewujudan berbagai-bagai institusi dan badan yang sedia ada bagi menjamin kelangsungan kekuasaan ummah.

“Institusi Raja berperlembagaan, institusi angkatan bersenjata, tentera dan polis, jabatan pentadbiran awam, badan-badan berkanun seperti Majlis-majlis dan Jabatan-jabatan Agama Negeri-negeri, dan kesemua NGO akan terus berperanan mempertahankan survival dan kelangsungan kekuasaan ummah di bumi Malaysia,” ujarnya.

Tiada ulasan: