Jumaat, 31 Mei 2013

Pemuda Pas: Bersedia dengan tangkapan lebih ramai

KEADILAN DAILY

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal di atas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan dan mendakwa empat tahanan pemimpin politik dan NGO semalam. Mereka adalah YB Tian Chua, Haris Ibrahim, Tamrin Ghafar dan Safwan Anang.

Bagi DPPM, tindakan PDRM menahan mereka adalah suatu dendam politik Menteri Dalam Negeri terhadap kejayaan siri perhimpunan aman “Block 505” yang diadakan di beberapa buah negeri termasuk kemuncak di padang Amcorp Mall, Kelana Jaya beberapa hari lepas sehingga mengundang ratusan ribu rakyat untuk hadir.

Meskipun tiada alasan untuk kerajaan menangkap mereka kerana himpunan telah diadakan secara aman, namun pemimpin ini tetap ditangkap dan didakwa walau dengan apa cara sekalipun.

Penahanan mereka adalah suatu mesej dan gambaran jelas bahawa kerajaan sedang menggelabah dalam menghadapi kebangkitan rakyat yang sedar bahawa mereka telah ditipu dalam PRU ke 13.

Oleh kerana terlalu bimbang rakyat bangkit menuntut hak mereka, kerajaan menahan beberapa pemimpin supaya ianya dapat mendiamkan serta menakut-nakutkan rakyat.

DPPM merasa bimbang sekiranya akan ada lagi tangkapan dan dakwaan terhadap mana-mana individu yang menganjurkan perhimpunan aman. Mungkinkah keganasan politik di era pasca PRU 13 sudah bermula dengan siri tangkapan terhadap beberapa figur penting politik negara dan akan disusuli ramai lagi pemimpin turut akan diheret sama.

Namun begitu, DPPM mengucapkan tahniah kepada Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) di atas tindakan pantas JUHAM yang membantu membela tahanan sehingga mereka dibebaskan pada jam 11.00 malam semalam dan didakwa hari ini.

DPPM menganggap tindakan pantas JUHAM memaksa pihak polis membebaskan tahanan ini lebih awal tanpa di reman lanjut bagi membolehkan mereka di dakwa di mahkamah di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

DPPM mengharapkan JUHAM agar bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang buruk kerana belum ada tanda politik negara reda daripada sebarang penangkapan dan dakwaan. Datuk Seri Dr Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri mungkin akan berpuas hati apabila ramai pemimpin terutama penganjur perhimpunan aman ‘Black 505’ berbondong-bondong dihumban ke dalam penjara.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: