Selasa, 7 Mei 2013

Pas: Ambil tindakan ke atas pencetus api perkauman

Wartawan Sinar Harian

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
 
SHAH ALAM – Pas menggesa anggota keselamatan supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi ataupun ketegangan kaum susulan penolakan kaum Cina terhadap MCA dan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, pihak berkuasa tanggungjawab melindungi rakyat daripada provokasi daripada golongan tidak bertanggungjawab yang sengaja mengapi-apikan api perkauman.

“Pas mengingatkan semua pihak untuk mengamalkan politik sihat terutamanya pihak media supaya tidak membuat kenyataan beremosi yang boleh menimbulkan kegelisahan di antara kaum.

“Tiada siapa yang patut menuding jari pada mana-mana kaum hanya kerana mereka tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13),” kata dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, MCA juga kehilangan banyak kerusi yang pernah dimenanginya pada 2008.

Pada pilihan raya 2008, MCA mempertaruhkan 40 kerusi Parlimen dan hanya berjaya meraih 15 kerusi manakala pada PRU13, MCA hanya berjaya mempertahankan tujuh kerusi Parlimen daripada 37 yang ditandinginya.

Tambah Mustafa, berdasarkan data yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menunjukkan seramai 5,623,984 (49.96 peratus) pengundi memilih PR di peringkat Persekutuan berbanding 5,237,699 undi (47 peratus) memilih BN.

 Tegasnya penolakan itu berlaku secara umum daripada semua golongan bukannya bersifat perkauman seperti yang dilaporkan media arus perdana.

Oleh kerana itu katanya, buat pertama kali dalam sejarah BN tewas undi popular.

“Hanya pihak yang tidak bertanggungjawab sahaja yang ingin melihat fenomena menolak BN ini dari sudut perkauman,” jelasnya lagi.

Tiada ulasan: