Jumaat, 10 Mei 2013

Klon nombor telefon bimbit, Salahuddin mahu Celcom jawab

NIZAM ZAIN

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
 
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub kesal apabila nombor telefon bimbit peribadinya disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbaur hasutan dan perkauman.

Mesej itu yang berbunyi "Cina telah cuba tolak kuasa Melayu tetapi gagal, 'Chinese are not the king maker!' sekarang masa Melayu bersatu untuk ajar Cina", dipercayai telah disebarkan tanpa pengetahuan beliau.

Katanya, beliau hanya mengetahui kewujudan SMS itu setelah beberapa pihak memberitahunya menerima mesej berbaur perkauman itu daripada beliau.

"Dari jam 8 malam tadi hingga 12 tengah malam, ada pihak salah guna nombor telefon mudah alih saya iaitu 013-727 8292 untuk hantar SMS mesej berbaur hasutan dan perkauman.

"Perbuatan tak bertanggungjawab itu telah cemarkan nama baik saya dan cuba bunuh karier, ia juga menanam kebencian orang Cina terhadap saya," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Salahuddin yang tewas di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Nusajaya, Johor berkata, beliau  telah melanggan nombor itu dari talian syarikat telco Celcom sejak 1995 terkejut dan kecewa apabila nombornya telah disalahgunakan oleh pihak tertentu.

Selain Salahuddin, turut menjadi mangsa penyalahgunaan nombor telefon bimbit itu ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu pada awal pagi tadi.

Menurutnya, sebaik sahaja beliau menerima maklum balas penerima SMS itu, beliau segera membuat laporan polis pada jam 12 tengah malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kota Bharu.

Kira-kira jam 9 pagi tadi, beliau dipanggil untuk diambil keterangan hampir 30 minit oleh pegawai penyiasat, Inspektor Zamzari di pejabat polis yang sama.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan akan mengemukakan saman terhadap syarikat telco terbabit susulan nombor telefon bimbit beliau telah diklon tanpa pengetahuannya.

Bagaimanapun beliau mahu pihak Celcom terlebih dahulu tampil memberikan kenyataan rasmi bagaimana nombor itu boleh digunakan oleh pihak ketiga secara sewenang-wenangnya.

"Saya minta Celcom tampil buat kenyataan rasmi bagaimana nombor saya sebagai pelanggan setia sejak 1995 sampai sekarang boleh diklon dan digunakan untuk kirim SMS berniat jahat," dakwanya.

Tegasnya, sekiranya Celcom gagal berbuat demikian atau kenyataan rasmi syarikat telco itu tidak memuaskan hatinya, beliau tidak teragak-agak untuk mengeluarkan arahan kepada semua ahli Pas supaya menghentikan langganan serta-merta.

"Saya ingin nasihatkan Celcom, ahli Pas ada 1.2 juta orang, saya boleh buat arahan sekiranya Celcom tak buat kenyataan yang boleh yakinkan, saya akan minta ahli Pas hentikan langganan Celcom.

"Suruhanjaya Multimedia maklumkan pada saya, tindakan itu bukan sebarangan orang boleh akses nombor saya atau klon dengan niat jahat.

"Saya bimbang mungkin selepas ini akan ada tersebar pula SMS berunsur lucah dihantar kepada golongan wanita bertujuan burukkan nama baik saya," katanya.

Salahuddin percaya tindakan itu mempunyai kaitan dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Johor di mana hampir semua kawasan mempunyai majoriti yang rendah berbanding 2008.

Ini dikuatkan lagi apabila Pakatan Rakyat berjaya menambah kerusi Dun Johor kepada 18 kerusi pembangkang, 13 kerusi daripada DAP, 1 PKR dan 4 Pas.

Tiada ulasan: