SHAH ALAM: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak didesak meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN Selangor, selepas rakyat menolak BN di dalam Pilihan Raya Umum ke 13 semalam.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang didapati gagal menguruskan perjalanan pilihan raya secara telus, adil, bersih dan bertanggungjawab juga disaran melakukan perkara sama.
“Jelas Pakatan Rakyat (PR) mendapat undi popular dan undi dari semua kaum dan ini bertentangan dengan dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa kita hanya mendapat sokongan kaum Cina.
“Prestasi SPR amat mengecewakan sekali dengan kejadian kegagalan dakwat kekal berfungsi seperti mana yang dijanjikan, kehadiran pengundi hantu dan meragukan.
“(Juga) kotak-kotak undi yang sering muncul secara tiba-tiba serta melambat-lambatkan keputusan,” kata pengerusi PR Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Abdul Khalid turut meluahkan keyakinan Pakatan mampu memperolehi kemenangan lebih besar termasuk di peringkat persekutuan sekiranya pilihan raya dijalankan dengan bersih dan adil.
Sementara itu, MP Shah Alam, Khalid bin Abdul Samad ketika mengulas isu sama berkata SPR merupakan pengkhianat kepada rakyat apabila bertindak tidak adil dan berkelakuan sebagai agen BN.
“Dia telah khianati amanah rakyat yang dia sepatutnya menjadi badan yang bebas, tidak berpihak tetapi jelas dan bertindak sebagai agen-agen BN sehinggakan pengumumkan juga ikut kepentingan BN untuk menimbulkan keresahan atas dasar kaum,” kata Khalid.
Sebagai tanda protes, Khalid dan pemimpin PR yang berada dalam sidang media itu turut ‘berkabung’ dengan mengenakan kain hitam yang diikat di pergelangan tangan.
Ketika pengundian berjalan semalam, pelbagai kekecohan berlaku di kebanyakan pusat pengundian di seluruh negara.
Antaranya warga asing yang mengundi dengan kad pengenalan Malaysia, , penggunaan dakwat kekal yang tidak kekal dan pertambahan kotak undi secara tiba-tiba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan