Ahad, 19 Mei 2013

Kemampuan Paul Low di JPM jadi persoalan

Abdul Aziz Mustafa,


KUALA LUMPUR: Asia Times menyifatkan peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan kepada usaha memerangi rasuah sebagai sesuatu yang dipersoalkan.

Akhbar itu menyifatkan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) itu memberikan kenyataan yang mempertahankan sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak mengambil tindakan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud selepas dakwaan salah guna kuasa terhadap Taib seperti yang disiarkan dalam video Global Witness.

Low dilihat memberi kenyataan yang menimbulkan keraguan apabila berkata, Perdana Menteri mungkin mempunyai pilihan yang terhad kerana pendedahan terhadap Taib itu melibatkan urusan negeri.

Low juga dilaporkan tidak mengecam tindakan kerajaan sementara BN dalam pilihan raya lalu apabila ia melanggar Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International yang ditandanganinya.

Tidak ada sebarang kecaman dilaporkan walaupun TI-M sendiri yang menyifatkan Najib telah mengabaikan salah satu janji dalam ikrar tersebut iaitu tidak menerima atau memberi rasuah atau terlibat dalam sebarang amalan rasuah.

Memburukkan keadaan, Khamis lalu, Malaysiakini melaporkan, salah seorang anggota TI-M, Koris Atan, mempersoalkan integriti Low yang menandatangani Ikrar Integriti tersebut dengan Najib tanpa kelulusan jawatankuasa pusat negeri badan itu.

"Hanya kerana melibatkan perdana menteri, dia tidak boleh rasa ada kuasa melakukan apa saja ikut kehendak sendiri, sekarang dia dilantik sebagai menteri, persoalan berbangkit sama ada ia sebahagian daripada rancangan," kata Koris.

Pengarah Institut Kepimpinan dan Strategi Asia Tan Sri Ramon Navaratnam menyifatkan perlantikan Low menyulitkan pentadbiran baru.

"Orang mahu lihat keputusannya. Masih banyak jerung yang berenang-renang dengan begitu seronok. Kita harap dapat melihat tindakan diambil terhadap mereka.

"Jika tidak, (perlantikan Low) akan mengakibatkan kesan yang sebaliknya dan hanya lebih kepada retorik," kata beliau.

Tiada ulasan: