Khamis, 16 Mei 2013

Boikot perniagaan Cina boleh jejas hubungan antara kaum – Azan

Oleh Mohd Arif Juhani

KUALA LUMPUR- Gesaan beberapa NGO Melayu termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) agar umat Melayu Islam memboikot perniagaan Cina boleh memburukkan imej Islam sebagai agama perdamaian dan menjejaskan hubungan antara kaum.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Azan Ismail berkata, tindakan cetek NGO berkenaan khususnya PPIM tidak akan memulih hubungan antara kaum di negara ini bahkan imej Islam yang disandar oleh pertubuhan itu bakal terjejas.

pc penyelewengan budget

“Islam menjadi mangsa fitnah hasil sikap kebudak-budakan PPIM kerana mereka gagal menterjemah wajah sebenar Islam sebagai agama perpaduan dan kasih sayang.

“Tindakan boikot tersebut tidak mempunyai asas kukuh malah jika dilakukan, kesan buruknya akan dirasai pengguna yang bergantung kebayakannya kepada peniaga Cina untuk mendapatkan barangan keperluan harian,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar itu kepada Keadilan Daily.

Semalam, sebuah gabungan NGO Melayu yang dinamakan Gabungan NGO Islam 1 Malaysia yang dianggotai PPIM, Suara Anak Muda 1Malaysia, dan Majlis Belia Palestin Malaysia dilapor media sebagai menggesa orang Melayu memboikot perniagaan bangsa Cina kononnya kerana memberi dana kepada Pakatan Rakyat dalam PRU lalu.

Azan berkata, PPIM wajar menjadi contoh kepada NGO Melayu yang lain kerana berpengalaman luas dalam isu kepenggunaan, bukannya membiarkan mereka diperalat untuk tujuan politik perkauman.

“PPIM patut bantah isu kenaikan harga barang yang membebankan semua pihak sehingga ada peniaga yang ambil kesempatan menyorokkan barangan keperluan,” kata Pengerusi KEADILAN Terengganu itu.

“Isu penipuan gores dan menang dan banyak lagi isu kepenggunaan sepatutnya diberi perhatian,” kata Azan lagi.

Tiada ulasan: