Isnin, 27 Mei 2013

BN Perak kalah undi popular, hilang sokongan

Harakahdaily,




KUALA LUMPUR: Kemenangan BN di Perak bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, kata Timbalan Pengerusi DAP negeri, V Sivakumar.

Katanya, walaupun dengan pelbagai penipuan pilihanraya dan tekanan politik, PR masih berjaya memenangi 28 kerusi berbanding dengan BN yang menang 31 kerusi.

Ahli Parlimen Batu Gajah itu menambah, SPR telah sedaya upaya berusaha dan bersekongkol dengan BN untuk memastikan kemenangan di negeri Perak.

Menurutnya, walaupun PR berjaya memperolehi undi popular 55% rakyat Perak tetapi kalah dalam bilangan kerusi Dun.

Ini, ujarnya menyebabkan BN menubuhkan kerajaan negeri walaupun hanya mendapat undi 45% pengundi Perak.

Ini, katanya lagi membuktikan sesuatu yang tidak kena dengan sistem pilihanraya yang diamalkan di negara ini.

Beliau berkata, walaupun undi lebihan PR di Perak adalah lebih daripada 100,000 tetapi ianya tidak diterjemah kepada kemenangan PR.

“Ini adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian serius. Rakyat Perak telah ditipu dengan strategi yang dihitung dan dicorakkan semata-mata untuk menambahkan jumlah kerusi tanpa mempedulikan hasrat rakyat yang sebenar,” ujarnya lagi.

Tambahnya, kerajaan BN Perak adalah rapuh dan dibentuk dengan jumlah undi yang terlalu kecil daripada 2 kerusi yang dimenanginya iaitu Lubok Merbau dengan 53 undi dan Manjoi sebanyak 132 undi.

“Jika kita hitungkan  undi kedua-dua kawasan itu ialah 185 sahaja. Ini bermakna Kerajaan BN Perak hari ini dibentuk dengan 185 undi sahaja berbanding dengan undi popular PR yang melebihi 100,000,” katanya.

Dalam kata lain, ujarnya rakyat Perak telah tertipu apabila BN menubuhkan kerajaan dengan cara yang tidak adil tanpa mendengar suara rakyat majoriti.

Tiada ulasan: