Selasa, 21 Mei 2013

AirAsia nafi laporan Utusan halang penumpang, dakwa bayi menghidap cacar air

Oleh Md Izwan

KUALA LUMPUR — Syarikat penerbangan AirAsia menafikan laporan akhbar berbahasa Melayu Utusan Malaysia yang mengatakan mereka menghalang seorang ibu dan bayi daripada menaiki pesawat dengan sengaja hari ini, langkah yang dilihat bakal menambah ketegangan antara kedua-dua pihak.

Utusan baru-baru ini secara terbuka mengkritik ketua pegawai eksekutif anak syarikatnya, AirAsiaX, Azran Osman Rani ekoran komennya menerusi akaun Twitter yang meluahkan rasa jengkelnya terhadap isu perkauman yang dimainkan akhbar Umno tersebut.

“Kami ingin menjelaskan bahawa mereka tidak dibenarkan menaiki pesawat kerana salah seorang daripada mereka, iaitu seorang bayi, telah didapati dijangkiti dengan virus cacar air,” kata AirAsia dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

“Ini telah disahkan oleh doktor yang bertugas di lapangan terbang, yang juga mengisytiharkan bahawa bayi tersebut tidak berada di tahap kesihatan yang dibenarkan untuk menaiki penerbangan,” kata kenyataan itu lagi.

Akhbar tersebut melaporkan seorang wanita Izan Suhaila Mohd Ali, 36, bersama anaknya Maryam Sofea Mohd Reza, 14 bulan, tidak dibenarkan menaiki pesawatAirAsia, AK 1455 dari Ho Chi Minh, Vietnam untuk pulang ke Malaysia sebaliknya syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) dan Tourism Malaysia yang tampil membela mereka.

Utusan juga melaporkan kakitangan AirAsia tidak menghiraukan penjelasan Izan Suhaila anaknya sudah pulih daripada demam campak dan kesan tompokan hitam yang kelihatan merupakan parut akibat penyakit tersebut.

“Dalam kes ini, laporan perubatan menunjukkan bahawa kanak-kanak itu telah dibawa untuk perjalanan hanya 3 hari selepas simptom pertama muncul dan didapati menghidapi demam, mata berair, hidung berair dan ruam pada kebanyakan bahagian badan.

Berdasarkan penemuan ini, doktor mengisytiharkan bahawa kanak-kanak itu tidak berada di tahap kesihatan yang sesuai untuk terbang,” kata AirAsia lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar juga menafikan dakwaan mengatakan pihaknya tidak memberikan bantuan kepada penumpang terbabit, sebaliknya berkata tawaran bantuan oleh AirAsia telah ditolak.

“Pada hari tersebut, wakil kami telah menyediakan bantuan yang diperlukan kepada kedua ibu dan anak tersebut, dan kami telah membuat persediaan untuk menerbangkan mereka kembali ke tanahair serta 2 orang dewasa yang menemani mereka secara percuma, sebaik sahaja anak kecil itu didapati sihat sepenuhnya oleh pakar perubatan.

“Kami juga ada menawarkan untuk menguruskan penginapan hotel dan pengangkutan, namun mereka mengesahkan bahawa sudah mempunyai apa yang perlu untuk berada di Ho Chi Minh City,” kata Aireen.
Semalam, The Malaysian Insider melaporkan akhbar tersebut menggesa Azran meminta maaf kepada Utusan Malaysia serta kolumnis Awang Selamat juga mencadangan iklan AirAsia tidak diterima oleh akhbar tersebut.

“Tanpa Air Asia, Utusan tidak akan hadapi sebarang masalah. Lagipun nilai iklan yang diberi sangat kecil, lebih rendah daripada iklan jamu dan rawatan rambut,” kata Awang Selamat yang dipetik menulis semalam.

Azran sebelum ini dilaporkan mengkritik pendirian pengarang akhbar yang memainkan isu perkauman serta turut mengkritik Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sebagai pertubuhan tidak relevan yang menyebabkan orang Melayu berfikiran sempit.

Dalam reaksi balas, akhbar milik Umno itu kemudiaan menyiarkan kenyataan dari pemimpin Perkasa, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan juga kenyataan aktivis anti-PKR yang antara lainnya menyelar Azran sebagai “bongkak” dan “lupa diri”.

Berang dengan tulisan Azran, pemangku presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Bakar dalam laporan Utusan berkata eksekutif tersebut “angkuh” kerana lupa bahawa beliau mungkin tidak mampu berada di kedudukan tersebut tanpa “kuasa Melayu yang diperjuang Utusan Malaysia”.

“Tidakkah Azran terfikir lesen yang dikeluarkan kerajaan kepada Air Asia adalah kerana pada peringkat awalnya syarikat penerbangan itu dimiliki orang Melayu?,” Abdul Rahman dilaporkan berkata.

Tiada ulasan: