Zohor tadi seorang rakan dari Rantau Panjang, Kelantan dengan nafas tercungap-cungap menelefon saya bertanyakan status Nasharudin Mat Isa bekas timbalan presiden Pas. Saya jadi terheran dengan pertanyaan rakan itu. "Abang Ti macam mana dengan status Ustaz Nasharudin Mat Isa sekarang ini?" tanya rakan itu.
Nasharudin di sebelah Najib. Inilah gambar menyakitkan mata orang Pas. |
"Macam mana dia dengan Pas, dia masih ahli Pas ke atau tidak.." soalnya.
"Kenapa..?" saya jadi tambah hairan dengan pertanyaan itu. Setahu saya Nasharudin masih ahli Pas dan masih dihormati oleh sebahagian ahli Pas. Pas tidak pun mengambil tindakan memecatnya seperti mana dilakukan ke atas Hasan Akidah yang dilihat rakan atau patnernya.
"Ahli Pas guana dia bersama Najib di Makkah. Dia sambut Najib...," katanya dengan nada sedikit geram dan kesal dengan apa yang dilihat.
"Apa salahnya, Najib kan PM Malaysia. Sesiapa boleh sambut dan hormat Najib.... kalau abang Ti ada di Makkah ketika itu, abang Ti juga sambut Najib," kata saya mahu meredakan kemarahannya dan mengajar politik rasional kepadanya.
"Tetapi abang Ti berat dia ni, dia duduk sebelah Najib...," katanya lagi.
"Tengok di mana?" Tanya saya mahukan kepastian. Saya tidak tahu menahu akan apa diperkatakan oleh rakan ini.
"Baru sekejap tadi dalam berita TV3 ditunjuk Ustaz Nasarudin bersama Najib...nampak mesra benar," katanya.
Baru saya faham cerita dan faham juga kenapa kawan itu sanggup menghabiskan top-up untuk bertanyakan hal itu. Sebagai ahli Pas yang tegar dia tidak tergamak atau malu melihat aksi sebegitu. Baginya menyakitkan hati dan memalukan parti.
Beberapa jam selepas itu bila saya membelek Fb saya terjumpalah foto yang dikatakan itu. Nasharuddin kelihatan duduk bersimpuh di samping Najib sambil tersenyum. Gambar itu menunjukkan Nasharudin dan Najib sedang berbual-bual dengan dua orang Arab berjanggut lebat. Tidak dinyatakan siapa dua orang Arab itu. Saya mengagak Najib menjadi tetamu kepada orang Arab berkenaan manakala Nasharudin menjadi jurubahasanya. Walaupun menteri agama Jamil Bahrum ada sama, tetapi Nasarudin diberikan tugas menjadi jurubahasa kerana bahasa Arab Nasharudin lebih baik dari Jamil.
Memang satu-satu kelebihan yang ada kepada Nasharudin berbanding dengan timbalan dan bekas timbalan presiden Pas ialah dia dapat berbahasa dalam beberapa bahasa. Nasharudin tahu berbahasa Arab, Perancis dan Inggeris dengan baik. Dia juga pandai loghat Negeri Sembilan tetapi agak telor dengan lorat Kelantan walaupun sudah lebih empat tahun menjadi wakil rakyat Bachok.
Atas kepandaian itu sesetengah ahli Pas yang menjadi pengkagum tegar kepadanya merasakan Nasharudin lebih layak untuk menjadi pengganti Abdul Hadi Awang sebagai presiden Pas berbanding Muhammad Sabu atau Husam Musa. Jadi apabila dia kecundang dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden ditangan Muhammad Sabu dan Tuan Ibrahim Tuan Man, murih sakan si para penyokong Nasharudin.
Tentang gambar itu beberapa orang rakan Fb saya juga bertalu-talu bertanya saya dan minta saya ulas mengenainya. Ada yang hantar sms dan ada yang menghantar mesej dalam PM. Mereka minta saya ulas mengenai gambar berkenaan. Rupanya gambar berkenaan menjadi satu masalah.
Sebenarnya saya tidak berminat untuk menyetuh kedudukan Nasharudin dan juga memperkatakan chasis politiknya yang bagi saya sudah rosak. Saya mulai merasakan chasis
politiknya mulai renyuk bila mana beliau tidak dapat menerima kekalahan
dalam merebut jawatan timbalan presiden. Nasharudin saya sifatkan
sebagai seorang yang berjiwa kecil. Orang berjiwa kecil memang tidak
layak untuk menjadi pemimpin melainkan sesuai menjadi lalang. Jika
jiwanya besar dia tidak mudah ugah dan terus berjuang seperti biasa
dalam Pas.
Tetapi dia telah menolak perlantikan parti dan tidak menghadiri mesyuarat. Bermula dari tindakan beliau ini saya sudah dapat mengagak ke mana hujung jatuhnya nanti. Dan apa yang beliau tunjuk dan pamerkan dengan bermesra dengan pemimpin Umno menjelaskan keadaan itu. Chasisnya sudah rosak dan wajahnya sudah renyok ke arah lain.
Bukan tidak boleh untuk bermesra dengan pemimpin Umno, boleh. Bergambar dan makan bersama juga boleh. Tetapi cara Nasharudin mempamirkan kemesraaan itu seakan mahu menyakiti pihak-pihak tertentu. Dalam masa sama beliau mahu menunjukkan yang beliau tidak kisah dan masih laku dan sedia dibeli oleh pedagang politik. Dia menunjukkan kononnya dia hebat dan dicari oleh sesiapa saja.
Sebenarnya perilaku beliau dengan Najib di Makkah itu bukan aksi pertama Nasharudin yang boleh menyebabkan ahli dan penyokong Pas bertanya dan mengsyaki sesuatu kepadanya. Sebelum ini dia telah pun bergambar dengan Udin anak Yassin di rumahnya ketika timbalan perdana menteri itu hadir ke majlis kenduri anaknya di Bukit Mahkota, Bangi.
Sekali lagi bergambar dengan Udin anak Yassin tidak menjadi kesalahan kerana Udin bukan makhluk yuang najis. Tetapi cara Nasharudin lakukan itu ia semacam sengaja mahu menyakitkan mata orang-orang tertentu. Gambar itu misalnya tidak salah kalau presiden atau timbalan dan mana-mana pemimpin lain ada sama. Ia dilihat indah dan cantik lagi. Tetapi nawaitu Nasharudin tampaknya bukan begitu...
Jadi kesimpulan dengan apa yang berlaku dan dilakukan Nasharudin hari ini tidak perlu merasa anih dan pelik. Sepatutnya orang Pas boleh membayangkan awal-awal lagi apa yang akan berlaku ke atas bekas timbalan presiden Pas ini. Apabila beliau meninggalkan muktamar di hari beliau kalah tanpa bersalaman dengan pemimpin lain sudah mengenalkan siapa beliau sebenarnya. Apabila beliau menolak perlantikan dibuat parti, kita sudah dapat membaca apa yang ada dalam fikirannya.
Bahkan jauh dari itu apabila beliau beriya untuk membawa Pas bergabung dengan Umno, sedangkan sebahagian ahli Pas lain menentangnya, sepatutnya sudah dapat diramalkan apa warna siasah Nasharudin. Nasharudin sungguh tidak dapat melupai angan-angannya untuk menjadi menteri apabila Pas bergabung dengan Umno. Kegagalan penggabungan itu, Unity Government (UG) menjadikan Nasharudin benar-benar kecewa dan marah.
Kenapa tidak, kalau termenterai kerjasama Umno dengan Pas beliau akan menjabat salah satu daripada dua kerusi menteri yang dijanjikan. Antara syarat pembetukan UG ialah Pas akan mendapat dua kerusi menteri, di mana salah seorangnya Nasharudin kerana kedudukannya sebagai timbalan presiden ketika itu. Nasharudin merasakan dia layak walaupun ada lagi orang lebih layak dan senior daripadanya. Kerana kegagalan itulah menyebabkan beliau merajuk, kesal tidak sudah-sudah.
Mungkin Nasharudin masih mengharapkan mimpi berkenaan menjadi kenyataan di mana dengan keilmuan yang beliau ada, beliau akan dilantik menjadi menteri oleh Umno. Walaupun beliau sedar tidak akan menang dalam pilihan raya, mungkin Umno akan melantik beliau menjadi senator seperti Nalakarupan, Ezam Mohd Noor untuk terus menabur budi kepada Umno. Atas merasakan dia seorang berilmu dan pandai bercakap beberapa bahasa Umno akan mengambilnya untuk jadi menteri.
Orang Pas dan penyokong Pas usah kesal dan marah dengan telatah dan sikap Nasharudin. La tahzan. Sebaliknya doakan dia dapat mencapai cita-cita politiknya. Biarlah dia menjadi menteri. Cuma apa yang saya hendak ambil kesempatan di sini, mengucapkan terima kasih kepada ahli parlimen Bachok itu kerana berjaya menyakitkan hati orang Pas. Mungkin kekesalan ahli dan rakyat Bachok tidak sesakit dan sekesal ahli Pas dan rakyat Pasir Mas atas perbuatan Inchek Ibrahim Ali, tetapi apa yang berlaku iras-iras itulah juga.
Orang Bachok hingga ke sembilan keturunan akan kenang atas apa yang dilakukan Nasharudin.
Sebenarnya tindakan Tok Guru yang dianggap kejam, menghalau Nasharudin satu waktu dulu adalah tindakan benar berdasarkan daya kahsyafahnya yang saudah mengetahui ke parit mana akhirnya Nasharudin akan tergelincir. Tindakan Tok Guru itu sepertilah tahunya Khidir mengenai nasib seorang kanak-kanak yang dibunuhnya walaupun dibantah Musa a.s.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan