Sabtu, 11 Ogos 2012

Tamrin akan sertai Pas bila dapat ilham

SINAR HARIAN

Datuk Tamrin
Datuk Tamrin


KUALA LUMPUR - Anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Ghafar Baba,  berkata, beliau akan menyertai Pas apabila telah mendapat ilham.

Sehingga kini beliau masih lagi ahli Umno.

Menurut Tamrin, banyak pihak sebelum ini mengajaknya menyertai Pas, namun belum tergerak hati berbuat demikian walaupun sering tampil berceramah di pentas Pas.

Beliau juga pernah menghadiri muktamar Pas beberapa kali.

"Tunggulah, dapat ilham nanti saya serta. Tuan-tuan doalah malam ini (semalam) untuk saya supaya saya cepat sikit masuk Pas," kata beliau dipetik Harakahdaily.

Beliau berkata demikian menjawab soalan hadirin pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) di sebuah restoran di Gombak semalam.

Soalan tersebut berhubung pelbagai gesaan agar beliau meninggalkan Umno dan menyertai Pakatan Rakyat ekoran dilihat tidak sebulu lagi dengan pimpinan Umno pada hari ini.

"Saya secara peribadi lebih seronok dengan tuan-tuan ini, cuma bila Pas nak terima saya.

"Saya dah ikut Mazlan (Aliman) lama dah, tapi baju hijau tak dapat lagi. Mana boleh sertai Pas setakat pakai skaf," katanya berseloroh lagi sambil merujuk gambarnya di poster di belakang pentas.

Poster tersebut mempamerkan gambarnya memakai skaf hijau dengan tulisan Pas dalam satu ceramah di ibu negara sebelum ini.

Sementara itu, beliau turut ditanya apakah amanat terakhir Tun Ghafar kepada anak-anak.

Beliau berkata, Tun Ghafar banyak kali berpesan agar anak-anak berjuang untuk kepentingan rakyat.

"Kami dinasihatkan kalau berjuang berjuang untuk rayat. Itu pesan dia banyak kali.

"Dia kata biar kita miskin (dunia) tak mengapa, janji Tuhan tahu kerja baik kita," kata beliau.

Laporan media bulan lalu menyebut beliau kemungkinan dikenakan tindakan disiplin oleh Umno kerana muncul di pentas pembangkang.

Tiada ulasan: