Rabu, 22 Ogos 2012

Pulau Pinang gubal undang-undang antilompat parti

GOKINA MORGANAN

Karpal Singh
Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh
 
GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang bercadang menggubal undang-undang antilompat parti bagi mengekang tindakan wakil rakyatdaripada mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket parti.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, cadangan itu akan dibincangkan adalah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Undang-undang seperti ini akan memastikan integriti politik dalam usaha mencegah  wakil rakyat  melakukan tindakan khianat atau tidak hormat pengundi mahupun rakyat memberi mandat untuk mentadbir.

"Sekiranya semua ahli Exco negeri bersetuju, undang-undang ‘antilompat parti’ itu dijangka akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) November ini,"katanya, pada sidang media, dipejabatnya, Komtar di sini, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Kerajaan Negeri  akan mempertimbangkan cadangan itu dengan  mendapatkan nasihat daripada penasihat undang-undang Kerajaan Negeri.
"Cadangan ini adalah konsisten dengan pendirian DAP yang menentang tindakan lompat parti dianggap satu perbuatan khianat dan  tidak hormat kepada mandat diberikan oleh pengundi memilih  calon daripada parti asal.

"Undang-undang antilompat parti ini berupaya mencegah 'katak' (wakil rakyat) dari lompat daripada parti asal ke parti yang lain secara mudah,"katanya.

Guan Eng, sebelum ini Kerajaan Negeri Sabah telah meluluskan pindaan kepada Perlembagaan Negeri tetapi Mahkamah Persekutuan memutusan undang-undang itu tidak sah kerana ia melanggar hak kebebasan yang dijamin dalam Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

"Kini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang cuba meluluskan undang-undang ini supaya Mahkamah Persekutuan boleh menyemak semula undang-undang dalam hal ini,"katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan Pengerusi  DAP Kebangsaan Karpal Singh menegaskan, tindakan 'lompat parti' ialah satu perbuatan khianat kepada pengundi yang  memilih  calon mereka daripada sesebuah parti tertentu.

Menurutnya, DAP sentiasa menentang tindakan melompat parti yang dipandang serius kerana ia adalah tindakan pengkhianatan dilakukan oleh anggota Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang dipilih rakyat.

Tiada ulasan: