Khamis, 2 Ogos 2012

Polis tembak ke bawah jika terdesak - FRU

Hazayani Zakaria,
 
KUALA LUMPUR: Pihak polis memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini bahawa tidak kurang 100 tembakan gas pemedih mata dilepaskan di sepanjang Jalan Raja Laut di Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Pegawai Pemerintah Unit Pasukan Polis Persekutuan (FRU), Supretenden Zahari Yusuf (gambar) berkata, selain daripada gas pemedih mata polis juga melepaskan semburan air kimia bagi menyuraikan peserta kerana menganggap peserta tidak mendengar arahan mereka supaya bersurai.

"Saya tak pasti berapa gas pemedih mata dilepaskan tapi tidak kurang daripada 100 tembakan," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Zahari berkata, seramai 400 anggota FRU ditugaskan pada hari tersebut dan mereka berkumpul sehari lebih awal di parking bawah tanah Dataran Merdeka.

"Bermula awal tahun ini, pasukan kami dilatih 'anger management'. Dalam latihan FRU akan berjemur di tengah panas dan kami akan maki mereka untuk melihat sama ada mereka boleh bertahan atau tidak.

"Kami cuba bertindak tidak mengikut emosi tapi kalau ada itu salah individu (polis) itu sendiri," katanya sambil menambah anggotanya tidak terlibat dalam menangkap peserta.

Menjawab soalan panel mengenai SOP polis dalam melepaskan tembakan gas pemedih mata, Zahari menjelaskan gas ditembak menghala ke atas.

"Kalau keadaan terdesak, baru kami tembak ke bawah," katanya.

Beliau turut mengakui tidak menggunakan kain rentang untuk menyuraikan peserta pada perhimpunan Bersih 3.0.

"Memang sepatutnya selain daripada arahan bersurai, kain rentang turut digunakan tapi hari itu kami tidak gunakan kerana kain rentang yang sedia ada salah ejaannya dalam bahasa Tamil. Jadi tidak boleh digunakan," katanya.

Ditanya pandangan beliau mengenai aduan orang awam bahawa polis melakukan kekasaran ke atas mereka pada perhimpunan tersebut, Zahari menyifatkannya sebagai tidak wajar.

"Sebagai polis tidak wajarlah melakukan kekasaran terhadap peserta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Tiada ulasan: