Khamis, 2 Ogos 2012

Polis pukul ketika duduk di kafetaria hotel

Hazayani Zakaria,
KUALA LUMPUR: Seorang peserta Perhimpunan Bersih 3.0 memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa beliau ditahan polis ketika sedang duduk di kafetaria sebuah hotel berhampiran Masjid Jamek pada 28 April lalu.

Hee Jenn Wei, 25, berkata, polis masuk ke kafetaria dan mengarahkan beliau dan rakannya yang ketika itu memakai baju Bersih supaya mengikut mereka.

"Polis itu berkelakuan kasar dan memaksa saya berlari ke Dataran Merdeka. Sepanjang perjalanan saya ditendang," kata beliau pada pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Jenn Wei berkata, ketika polis memukulnya di kafeteria, pekerja hotel memaklumkan polis bahawa beliau pelanggan hotel tersebut tetapi polis mengarahkannya supaya diam.

Tambahnya, selepas kira-kira 40 minit berada di Dataran Merdeka, polis memberitahu mereka akan dibawa ke suatu tempat tetapi tidak memaklumkan lokasinya.

"Bila sampai ke tempat itu, kawan saya beritahu tempat itu ialah Pulapol," katanya.

Beliau juga berkata, polis tidak membenarkan beliau menghubungi sesiapa termasuk peguam.

"Saya tidak dibenarkan menggunakan telefon. Polis kata, 'kalau saya nampak kamu guna telefon, saya akan campak telefon kamu' dan saya ikut arahan," katanya.

Beliau juga berkata, hingga hari ini tidak ada maklum balas mengenai laporan polis yang dibuatnya sehari selepas perhimpunan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Tiada ulasan: