NGO Islam di negara ini diminta bergerak lebih aktif dalam memberi bimbingan agama kepada masyarakat Orang Asli yang baru memeluk Islam serta memberi pendedahan tentang agama itu kepada mereka yang masih mengamalkan kepercayaan nenek moyang.

Penerima anugerah Maulidur Rasul Kebangsaan 2012 Hussein Ngah Yin berkata masyarakat Orang Asli yang baru memeluk agama Islam dahagakan bimbingan agar mereka dapat mengamalkan ajaran agama yang baru mereka anuti itu dengan baik.

"Justeru kami memerlukan bimbingan daripada NGO Islam serta individu Islam agar kami lebih memahami erti sebenar beragama bagi mengelakkan pelbagai pengaruh negatif masyarakat luar sehingga boleh menjejaskan keimanan kami," katanya kepada Bernama hari ini.

Hussein, 59, yang merupakan ketua masyarakat Orang Asli Bukit Kala, Gombak, berkata pengaruh serta tingkah laku negatif oleh segelintir masyarakat Islam serta kurangnya bimbingan menyebabkan beliau pada awalnya tidak tertarik kepada agama Islam.

Namun setelah mendapat bimbingan daripada rakan-rakan Islam, beliau memeluk agama itu pada tahun 2008.

Justeru beliau berharap sukarelawan NGO Islam dapat lebih kerap mengunjungi perkampungan masyarakat Orang Asli bagi mengikat tali silaturahim dan mengajar penduduk mengenai Islam.

"Kebanyakan kami dilahir dan dibesarkan dengan tidak mempunyai agama untuk dianuti dan pada kebiasaannya kami akan memilih agama apabila sudah dewasa dan mampu berfikir sendiri," kata Hussein yang juga penerima anugerah Saudara Baru Mithali Selangor 2008.

Mengenai perkampungan Orang Asli Bukit Kala, beliau berkata perkampungan itu mempunyai kira-kira 3,500 penduduk dengan 30 peratus merupakan penganut agama Islam, 10 peratus Kristian manakala selebihnya masih mengamalkan kepercayaan nenek moyang.- Bernama