Rabu, 15 Ogos 2012

Nasharudin digesa jumpa pimpinan parti

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan menggesa Ahli Parlimen Bachok Nasharudin Mat Isa datang bertemu pimpinan parti jika ada perkara yang beliau tidak berpuas hati.

Menurutnya, tindakan mengeluarkan kenyataan mempertikai parti di media pihak lawan tidak menguntungkan parti malah hanya akan memberi peluang kepada musuh politik melemahkan PAS.

"Saya menggesa supaya Ust Nasharudin datang berbincang dengan pimpinan parti jika ada perkara yang beliau tidak puas hati.

"Bukan mengambil tindakan seperti apa yang telah dilakukan oleh Datuk Hassan Ali sebelum ini. Menyerang dan mempertikai keputusan parti di media pihak lawan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas timbalan presiden PAS itu yang disiar di Buletin Utama TV3 malam tadi yang mencadangkan agar PAS keluar dari Pakatan Rakyat jika DAP menentang hudud.

Kenyataannya malam tadi itu menghangatkan semula perbahasan berhubung kedudukan Nasharudin dalam parti ekoran beliau dilihat secara terbuka menolak keputusan parti.

"Tiada siapa yang gembira dengan perkembangan ini kecuali musuh politik yang mahu melihat pergolakan berlaku dalam parti.

"Pastinya kesempatan ini akan diambil sepenuhnya oleh musuh politik untuk melemahkan PAS," kata ketua pemuda PAS itu lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa Nasharudin segara bertemu pemimpin tertinggi parti bagi menyelesaikan segala masalah yang timbul secara dalaman.

"Saya tidak nampak Ust Nasharudin tidak memahami konsep Amal Jamaei atau lainnya yang berkait dengan disiplin perjuangan dan juga berjamaah. Ust Nasharudin sewajarnya insaf bahawa beliau yang memerlukan perjuangan Islam ini bukan sebaliknya.

"Ingatlah bahawa Perjuangan Islam ini tidak pernah rugi hanya kerana kita meninggalkan perjuangan ini justeru Allah pasti akan menggantikan orang lain yang akan terus berjuang dan memperkuatkan saf perjuangan Islam ini," katanya.

Sokong

Dalam pada itu, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Raja Ahmad Iskandar Al Hiss dalam kenyataannya menyokong agar Nasharudin mengadakan perbincangan tertutup dengan pimpinan PAS.

"Saya akan mengesyorkan kepada kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia untuk mengadakan pertemuan tertutup dengannya bagi berbincang dan mendapatkan penjelasannya dalam masa terdekat bagi mengelakkan lebih banyak presepsi buruk dilontarkan terhadap beliau.

"Saya berpandangan sebaiknya isu ini diselesaikan secara dalaman dengan penuh ukhuwwah supaya ianya tidak berpanjangan sehingga boleh menjejaskan persiapan PAS menghadapi PRU ke 13.

"Dan saya penuh yakin dengan semangat ukhuwwah dan ilmu yang dijadikan tunjang perbincangan bakal menumbangkan BN pada PRU nanti," kata beliau dalam kenyataannya.

Beliau juga melahirkan kekesalan dengan tindakan Nasharudin yang menyerang komponen Pakatan Rakyat, "sedangkan beliau memahami bahawa serangan terhadap Pakatan Rakyat dilakukan oleh jentera propaganda musuh yang mahu melagakan keharmonian Pakatan Rakyat."

"Beliau mengajak PAS untuk keluar dari DAP yang dilihat menentang hudud sedangkan beliau lupa mengajak Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membawa keluar UMNO dari Barisan Nasional ketika MCA berterusan menyerang Islam sehingga ke saat ini," katanya.

Beliau juga bertanya, apakah Nasharuddin melupakan ucapan pemimpin MCA yang menentang hudud secara konsisten dan secara terang-terangan.

"Sedikitpun tiada suara dari pemimpin UMNO yang menentang kenyataan pemimpin MCA yang menolak hudud itu.

"Lupakah kenyataan Presiden MCA yang menghina agama Islam itu sendiri," katanya.

Tiada ulasan: