Pengerusinya, Datuk Donald Lim menegaskan, MCA tidak pernah menerima pelaksanaan hudud.
“Apa yang disuarakan Pengerusi MCA Kedah (Datuk Chong Itt Chew) itu adalah pandangan peribadinya saja,” katanya ketika diminta mengulas pendirian MCA Selangor terhadap pelaksanaan hudud di negara ini.
Semalam, Sinar Harian melaporkan Itt Chew bersetuju dengan undang-undang Islam berkenaan sekiranya pelaksanaannya membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.
Setiausaha MCA Selangor, Wong Koon Mun pula berkata, MCA sebelum ini pernah berbincang berhubung isu hudud itu di peringkat negeri dan Pusat dan berpendirian tidak menerima undang-undang berkenaan kerana rakyat negara ini terdiri daripada pelbagai kaum.
“Kalau ikut Presiden MCA (Datuk Seri Dr Chua Soi Lek), memang kita tak setuju. Kalau 80 peratus penduduk sesebuah negara itu orang Islam, sesuailah jika hudud dilaksanakan.
“Susah hendak komen isu ini sebab kalau saya kata sokong (hudud) nanti orang Cina tak suka. Tapi kalau kata tidak sokong, orang Islam pula tak suka,” katanya.
Beliau mendakwa, sesebuah negara tidak boleh mengamalkan dua undang-undang pada satu masa dan jika hudud dilaksanakan, bagaimana hukuman itu dijatuhkan jika melibatkan pesalah orang Islam dan bukan Islam.
“Bagaimana jika ada dua atau tiga orang merompak terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam. Apabila kes di bawa ke mahkamah, ia akan dibawa ke mana? Apakah ia mengikut syariah atau sivil?" katanya.
Sementara itu, MCA Johor turut berpendirian tidak menyokong pelaksanaan hudud.
Naib Presidennya, Datuk Ng See Tiong berkata, MCA tidak pernah menyatakan sokongan malah pendirian pucuk pimpinan di peringkat negeri ini juga sama seperti Pusat yang membantah cadangan pelaksanaan hukum Islam itu.
“Kami tidak pernah bersetuju dan menyokong pelaksanaan hudud oleh Pas. Bahkan pemikiran dan pendirian kami tetap sama dengan pendirian yang pernah dinyatakan oleh MCA Pusat.
“Lagipun, kami tidak pernah memberi sebarang kenyataan bahawa kami bersetuju tentang pelaksanaannya. Kami yakin dan tetap pada pendirian tersebut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan