Syukri Razab, |
|
Setiap rakyat Malaysia yang mengimpikan sebuah pilihanraya yang bersih dan adil semestinya menyokong penuh penganjuran Janji Bersih yang dijadualkan akan berlangsung pada malam ambang Merdeka ini. Pertemuan aman berbaju kuning ini merupakan satu lagi acara solidariti rakyat Malaysia untuk menyuarakan tuntutan agar pihak kerajaan menunaikan janji membersihkan sistem pilihanraya. Penganjuran Janji Bersih di ambang merdeka ini tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman kepada sambutan kemerdekaan kerana Hari Kemerdekaan adalah milik setiap rakyat Malaysia. Oleh itu terpulang kepada setiap rakyat Malaysia untuk menjiwai sambutan kemerdekaan sama ada ingin berbaju kuning, biru, hijau mahupun merah. Apa yang penting ialah sambutan kemerdekaan mestilah penuh etika dan tidak melanggari batas tatasusila yang sudah sebati dengan budaya rakyat Malaysia.
Melihat kepada lemahnya komitmen kerajaan dalam melaksanakan transformasi terhadap sistem pilihanraya, adalah wajar untuk rakyat meneruskan desakan secara konsisten. Oleh itu pertemuan kuning malam ambang Merdeka ini sangat bersesuaian dengan tema sambutan kemerdekaan peringkat persekutuan iaitu Janji Ditepati. Kerajaan Malaysia tidak seharusnya berpuas hati dengan laungan transformasi dan perlaksanaan beberapa inisiatif seperti TR1MA dan BR1MA, sedangkan masalah pokok yang lebih penting untuk masa depan demokrasi masih tidak diselesaikan.
Pihak kerajaan perlu memberi tumpuan kepada permasalahan yang lebih utama iaitu melaksanakan tuntutan pilihanraya yang bersih dan adil. Pilihanraya merupakan hak hakiki setiap rakyat yang perlu dijaga dan dihormati. Membiarkan pilihanraya berlangsung dengan penuh kecelaruan merupakan pengkhianatan yang serius terhadap hak rakyat.
Pilihanraya yang tidak bersih seolah-olah menutup peluang rakyat untuk memilih kepimpinan Negara secara adil setelah mereka membuat penilaian terhadap prestasi kerajaan sedia ada. Sekiranya Kerajaan benar-benar menjunjung prinsip rakyat diutamakan, Kerajaan seharusnya jujur dalam menyediakan ruang demokrasi yang adil untuk rakyat memilih pemimpin. Pilihanraya yang bersih dan adil juga akan menjadi satu evaluasi yang telus untuk mengukur tahap penerimaan rakyat terhadap segala usaha yang telah kerajaan lakukan.
Sekiranya Kerajaan Malaysia tidak menyemarakkan usaha menyuburkan demokrasi, maka sudah pasti semangat demokrasi dalam kalangan rakyat juga akan menjadi suram. Alexander Woollcott seorang tokoh sejarah Amarika pernah membuat satu kenyataan yang disiarkan dalam New York Megazine yang mengatakan demokrasi hanya akan berfungsi, sekiranya manusia menggunakannya dengan baik. Oleh itu apabila pilihanraya dibiarkan tercemar, maka tidak hairan sekiranya rakyat memilih jalan raya sebagai alternatif demokrasi yang lain.
Setelah 55 tahun merdeka, adalah tidak wajar untuk kerajaan Malaysia terus membiarkan sistem pilihanraya berjalan dalam keadaan yang cukup meragukan. Lebih parah apabila pilihanraya ini dibiarkan kotor dalam keadaan cabang-cabang demokrasi yang lain juga masih tidak hormati seperti sekatan terhadap kebebasan media, limitasi terhadap hak berhimpun dan masih ada tahanan tanpa bicara yang belum dibebaskan.
Jika kerajaan ingin sambutan 55 tahun kemerdekaan menjadi lebih bermakna, maka Kerajaan perlu bersedia untuk membuat perubahan besar dalam arena demokrasi Malaysia. Mengulangi cerita yang sama pada setiap 31 Ogos hanya menimbulkan rasa bangga pada sejarah, tetapi tidak memberi sebarang makna sekiranya Negara dibiarkan berada dalam keadaan demokrasi lapuk.
Adalah amat dirisaukan sekiranya kerajaan membiarkan Negara terlalu lama berada dalam keadaan demokrasi usang, rakyat mungkin akan hilang percaya pada pilihanraya. Akhirnya rakyat terpaksa memilih jalan-jalan demokrasi yang lain seperti mana yang digunakan oleh rakyat mesir dalam menumbangkan regim diktator Hosni Mubarak.
Oleh itu keberadaan lapisan rakyat berbaju kuning pada malam ambang merdeka diharap dapat mengingatkan pihak kerajaan agar segera mengambil inisiatif untuk memulihkan keadaan demokrasi Malaysia. Hal ini perlu dimulakan dengan melaksanakan tuntutan BERSIH agar kepercayaan rakyat terhadap pilihanraya dapat dipulihkan.
Sekian
Penulis merupakan Penyelaras Hak Untuk Dibicarakan, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan juga merupakan mantan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan