Hazayani Zakaria, |
KUALA LUMPUR: Seorang peserta Bersih 3.0 memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa 10 hingga 15 polis tanpa tanda nama menyerbu lobi sebuah hotel dan menangkap orang ramai yang berada di situ.
Selamat Abul Hamid, 42, (gambar) berkata beliau menyaksikan anggota polis memaksa orang ramai terutamanya yang memakai baju T Bersih keluar dari hotel tersebut.
Apabila mereka tidak mengikut arahan, polis memukul dan menerajang mereka sebelum dibawa ke Dataran Merdeka.
"Pada mulanya saya ingin keluar dari hotel tapi tak jadi sebab tengok keadaan di luar kelam kabut selepas gas pemedih mata dilepaskan. Gas terasa hingga ke lobi hotel.
"Kemudian 10 hingga 15 polis yang tidak memakai tanda nama dan berbadan besar masuk ke lobi dan menghalau orang ramai," kata pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.
Menurut Selamat lagi, beliau yang ketika itu bersama isteri dan empat anak hanya mendiamkan diri namun turut dipaksa mengikut polis ke Dataran Merdeka, di mana semua peserta yang ditahan dikumpulkan.
Tambah beliau, sepanjang perjalanan dari hotel ke Dataran Merdeka, polis tidak henti-henti berleter dan mencercanya.
"Kami mengikut sahaja polis dan sepanjang jalan saya dicerca, antaranya polis kata 'ini mak bapak tak guna' kepada saya," katanya yang merupakan seorang juruteknik di sebuah kilang di Batu Pahat, Johor.
Ujar Selamat lagi, sewaktu di Dataran Merdeka, seorang anggota polis memberitahu mereka akan dibawa ke Masjid Negara menaiki bas namun apa yang berlaku, mereka dibawa ke Pulapol.
"Polis ada bagitahu akan bawa kami ke Masjid Negara tapi saya tak berapa percaya. Ramai juga yang percaya bulat-bulat tapi akhirnya kami dibawa ke Pulapol dan di Pulapol, semua diminta memegang nombor dan polis mengambil gambar kami," katanya.
Ditanya sama ada beliau memang berniat melibatkan anak-anaknya dalam perhimpunan tersebut, Selamat menafikannya.
"Memanglah salah satu faktor saya ke Kuala Lumpur sebab nak mengikut perkembangan perhimpunan tapi dalam masa yang sama, saya nak bawa anak-anak saya makan angin dan membeli-belah di sini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
Sementara itu, Khaw pada sidang media selepas itu berkata, Suhakam telah menghantar surat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi meminta pihaknya turut hadir sebagai saksi.
"Kita sudah hantar surat kepada DBKl sebab daripada saksi sebelum ini, Suhakam mendengar ada pegawai DBKL turut mengambil beberapa tindakan pada 28 April," katanya.
Selain itu, Suhakam juga berharap dapat mendengar keterangan polis berhubung insiden kereta diterbalikkan di Jalan TAR," katanya.
Pendengaran akan bersambung kembali 10 September depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan