Khamis, 16 Ogos 2012

300 pelajar belum terima biasiswa

Wartawan Sinar Harian

ALOR SETAR - Hampir 300 pelajar Malaysia di Universiti Tokyo, Jepun belum menerima biasiswa seperti dijanjikan.

Seorang waris, Mat Rani Mamat, berkata, anaknya mengalami masalah kewangan teruk akibat kegagalan itu kerana mereka sepatutnya menerima wang 26 Julai lalu.

 Beliau berkata, wakil pelajar ketika menghubungi Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) baru-baru ini diberitahu wang biasiswa sudah dihantar ke Jepun.

 “Namun, pihak di Jepun masih gagal membuat sebarang pembayaran ke dalam akaun pelajar,” katanya.

Beliau berharap pihak bertanggungjawab tampil membantu pelajar Malaysia di Jepun yang menghadapi masalah kewangan.

 Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menjelaskan pembayaran biasiswa secepat mungkin.

Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan, Datuk Mohd Tajudin Don berkata, JPA mengalami masalah proses pengeluaran wang antara bank tempatan dengan pejabat pos Jepun.

Beliau berkata, wang itu sudah dihantar melalui bank tempatan kepada pejabat pos Jepun, namun masih menunggu kelulusan untuk dibayar kepada 296 pelajar Malaysia.

 “Wang itu sudah ada di pejabat pos Jepun dan akan dibayar kepada semua pelajar secepat mungkin. JPA akan mengusahakan untuk membayar kepada semua pelajar sebelum Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Tiada ulasan: