Khamis, 26 Januari 2012

'Sedarlah Soi Lek, sekarang sudah 2012'

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menasihatkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek agar sedar bahawa kini sudah tahun 2012 di mana rakyat tidak lagi termakan dengan sentimen politik perkauman sempeit yang diperjuangkannya.

Ketua Penerangannya Riduan Mohd Nor berkata, kenyataan Chua Soi Lek bahawa sokongan kepada DAP akan membuka jalan kepada PAS untuk berkuasa adalah suatu kenyataan provokasi dan penuh sentimen kebencian terhadap PAS.

Menurutnya, presiden MCA itu cuba menanamkan sikap prejudis antara kaum supaya timbul perasaan tidak senang komuniti Tionghua terhadap PAS.

Sedangkan, rakyat katanya mahukan kesejahteraan, keadilan dan kemakmuran di dalam sistem politik baru yang sedang dibawa oleh Pakatan Rakyat lebih dari sentimen politik sempit perkauman.

"Kenyataan Datuk Seri Dr Chua sebenarnya adalah kenyataan lapuk yang telah ditolak oleh masyarakat yang peka dan arif dengan perkembangan politik negara.

"Datuk Seri Dr Chua kelihatan seperti ketinggalan zaman dengan kenyataan-kenyataan ‘usang’ yang cuba diolah kembali bagi ‘menghidupkan’ kembali politik beliau yang telah dilupakan orang," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam wawancaranya dengan The Malaysian Insider semalam.

Dalam wawancara itu, Chua Soi Lek mengatakan masyarakat Cina mula kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN) kerana mereka sedar sokongan kepada “DAP akan membuka jalan kepada PAS untuk berkuasa.”

Mengulas lanjut Riduan menjelaskan, PAS bersama Pakatan Rakyat tetap komited memerangi rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme, kezaliman, penyelewengan, penindasan serta sikap rasis sesetengah pihak.

"Pakatan Rakyat bertekad mahu membebaskan rakyat dari belenggu rejim korup Umno BN yang sedang menanti rebah.

"Adakah ini yang sangat ditakuti oleh pemimpin seperti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek," soalnya.

Menurut Riduan lagi, beliau sangat yakin, sekiranya semua kaum mengerti matlamat perjuangan PAS, mereka tidak akan membantah, malah akan terus memberikan sokongan kepada PAS.

Ianya terbukti apabila PAS kini memiliki Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang terus memberikan sokongan meskipun mereka tahu PAS meletakkan perjuangan Islam sebagai matlamatnya.

"Justeru, DPPM menasihatkan Datuk Seri Dr Chua agar bermain politik secara bijak dan matang.

"Rakyat mahu melihat apakah hasil dari perjuangan yang telah diusahakan oleh beliau dan partinya, bukan hanya berkokok tidak tentu pasal," tegasnya. -Harakahdaily

Tiada ulasan: