Rabu, 4 Januari 2012

Polis terima 475 laporan bantah Perhimpunan 901

Antara lain, laporan diterima daripada badan bukan kerajaan (NGO), peniaga, persatuan, ahli politik dan orang awam.



PETALING JAYA: Kira-kira 475 laporan daripada pelbagai pihak diterima polis bagi membantah Perhimpunan 901 yang menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam keputusan kes liwat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam kenyataannya hari ini mengesahkan sehingga pukul dua petang tadi, pihaknya telah menerima jumlah laporan tersebut yang dibuat diseluruh negara.

Difahamkan ini termasuklah laporan daripada badan bukan kerajaan (NGO), peniaga, persatuan, ahli politik dan orang awam yang membantah tindakan penyokong Pakatan Rakyat mengadakan Kempen Bebaskan Anwar 901 dan mensasarkan 100,000 orang hadir memenuhi perkarangan mahkamah pada Isnin depan.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar semalam dilaporkan berkata, tindakan menghasut orang ramai hadir ke mahkamah dengan menggantung kain rentang dan media sosial boleh menggugat ketenteraman awam selain menghina pentadbiran sistem keadilan negara.

Pandangan sama turut diutarakan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh selain menasihati penulis blog yang menggerakkan kempen ini supaya menghentikan rancangan mereka dengan serta-merta.

“Pada hari tersebut, sesiapa yang terlibat atau menyertai mana-mana pihak untuk meneruskan juga perhimpunan ini, polis akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Tiada ulasan: