Roketkini.com
KUALA LUMPUR – Sekumpulan aktivis mahasiswa telah membuat laporan polis terhadap insiden keganasan polis di perhimpunan aman di luar perkarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim di ambang tahun baru 2012.
Kumpulan mahasiswa BEBAS yang diwakili oleh Haziq Abdul Aziz membuat laporan polis tersebut di IPD Dang Wangi jam 2 petang semalam.
Dalam laporan itu, mahasiswa mendesak polis agar membuat siasatan secara bebas dan terbuka terhadap dakwaan insiden-insiden keganasan melampau yang digunakan terhadap peserta perhimpunan aman.
Antaranya insiden pembelasahan Safwan Anang oleh pihak polis sehingga terpaksa mendapatkan rawatan hospital, dan juga dakwaan bahawa ramai demostran turut dibelasah polis seperti disepak, dipijak dan disembam muka mereka di atas jalan raya.
Seorang jurucakap kumpulan mahasiswa berkenaan berkata bahawa janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjunjung demokrasi dan hak asasi adalah satu penipuan kerana kerajaan Malaysia pada 1990 telah menerima Prinsip Asas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Terhadap Penggunaan Kekerasan dan Senjata Api yang menyekat kekerasan polis.
“Mahasiswa tiada apa-apa senjata. Hanya ada suara, suara itu menuntut kebebasan akademik, namun dipukul, dipijak dan dihalang daripada mendapat rawatan perubatan mahu pun guaman,” kata jurucakap itu.
Menurutnya, ia jelas merupakan satu kesalahan berunsur jenayah yang harus disiasat secara adil dan individu-individu yang bersalah harus dihadapkan ke mahkamah. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan