Selasa, 24 Januari 2012

Pengsan empat jam beratur tuntut baucar RM500 BR1M

malaysiadaily


ULU KLAWANG, Jelebu - Akibat menunggu terlalu lama, seorang wanita Orang Asli jatuh pengsan ketika beratur semasa menuntut baucar wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Orang Ramai Kampung Batu Serambai, di sini, tengah hari semalam.

Sinar Harian difahamkan, wanita berkenaan, Ros Geboy, 43, dari Kampung Orang Asli Kelaka hadir ke dewan itu seawal kaunter itu dibuka iaitu pada jam 8 pagi.

Menurut adiknya, Wahab Geboy, 42, kakaknya beratur hampir empat jam dari jam 8 pagi hingga kira-kira jam 12.30 tengah hari.



“Kakak saya tidak menghidap sebarang penyakit tetapi mungkin disebabkan cuaca yang sangat panas dan terpaksa beratur panjang menyebabkan dia pengsan.

“Kakak saya pengsan selama setengah jam sebelum ambulans datang menghantarnya ke Hospital Jelebu,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kakitangan bank yang bertugas bertindak menuntutkan baucar BR1M milik Ros setelah mendapati dia pengsan ketika beratur.

“Saya juga keletihan akibat menunggu terlalu lama tetapi tidak kisah kerana sudah biasa beratur panjang.

“Cuma mungkin disebabkan cuaca panas, ia menyebabkan orang mudah pening,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati jumlah penerima yang ramai menyebabkan proses tuntutan baucar memakan masa hingga ada yang terpaksa beratur di luar dewan.

Dalam pada itu, seramai 488 penerima baucar BR1M bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Klawang menghadiri majlis penyerahan bantuan berkenaan.

Penyampaian baucar itu disempurnakan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang, Datuk Yunus Rahmat dan Pegawai Daerah Jelebu, Zulkifli Baharan.-sinarharian

Tiada ulasan: