Rabu, 25 Januari 2012

PAS tinjau kolam udang prihatin aduan rakyat

Khairul Azlam Mohamad,


SETIU: Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu dipersoalkan kerana sanggup mengenepikan kepentingan rakyat demi menjayakan Projek Taman Akaukultur Udang Bersepadu (i-SHARP).

Projek i-SHARP tersebut melibatkan kawasan seluas 1,000 hektar atau 2,400 ekar tanah yang merangkumi beberapa buah kampung penduduk seperti Kampung Nyatoh, RTB Kampung Kubang Labi dan Kampung Banggol, Permaisuri, Setiu.

Difahamkan, projek kolam udang tersebut di bawah Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan dimajukan oleh Syarikat Blue Archipelogo Berhad dari anak syarikat milik Khazanah Nasional Berhad.

Sehubungan itu, PAS dan penduduk setempat bukannya membantah sebarang bentuk projek pembangunan tetapi tidak mahu menggadai masa depan rakyat.

Kehadiran anggota Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat yang diketuai oleh pengerusinya, Zulkefly Mohamad Omar bersama beberapa orang jawatankuasa, baru-baru ini mengundang rasa kurang senang pihak pemaju projek tersebut.

Malah, ketika pimpinan PAS tersebut memasuki kawasan tapak projek telah disergah serta dihalang dari meneruskan tinjauannya bagi menyelami permasalahan sebenar rakyat.

Tinjauan Harakahdaily ke tapak projek i-SHARP bersama delegasi PAS itu hampir mencetuskan perkara yang tidak diingini serta layanan kurang baik pihak pengurusannya.

Zulkefly menjelaskan bahawa rombongannya adalah dari Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat bagi membuat tinjauan serta melihat tapak projek i-SHARP.

Kata beliau, pihaknya menerima banyak aduan tentang kesan buruk yang dihadapi oleh penduduk akibat dari kewujudan projek kolam udang tersebut.

Menurutnya, pihak PAS dan rakyat secara umum tidak menentang sebarang bentuk pembangunan tetapi tidak mahu projek yang bakal mengundang 1,001 masalah.

“Kami dari rombongan Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, masuk ke sini (tapak projek) untuk melihat sendiri keadaan kolam udang dan persekitarannya.

“Kami (delegasi) masuk pun tidak ada ‘sekatan’ atau ‘halangan’ dari mana-mana pengawal sekuriti di pintu masuk dan apa salahnya.

“Penduduk mengadu dan mereka hadapi masalah sejak projek (i-SHARP) ini dimulakan dengan kesan banjir, pencemaran alam sekitar dan sebagainya. Itu yang kami hendak tengok (tinjau) di sini,” jelasnya kepada pegawai terbabit.

Menurut beliau, penduduk mendakwa projek i-SHARP telah menyebabkan berlaku banjir luar biasa, tanaman petani rosak, kehadiran kera hutan masuk kampung dan sebagainya.

Selepas kurang 10 minit, rombongan PAS itu beredar bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Turut serta mengiringi delegasi tersebut Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Terengganu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak i-Bantah, Dr Azman Ibrahim.

Harakahdaily difahamkan, delegasi lajnah tersebut juga akan membuat tinjauan alam sekitar di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu serta hakisan ombak di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu.

Tiada ulasan: