Sabtu, 28 Januari 2012

PAS S'gor: Sokongan tak terjejas tanpa portfolio agama

Kepimpinan PAS Selangor yakin bahawa sokongan terhadap parti itu tidak terjejas sekalipun tiada wakil parti itu memegang jawatan exco hal ehwal Islam - seperti sebelum ini - di saat pilihan raya umum semakin hampir.

Malah, mereka juga menafikan rombakan exco di mana Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik sebagai exco belia dan sukan, bukan kerana tiada calon di dalam PAS yang mampu memegang jawatan exco agama Islam.

"Itu hanya pendapat orang yang besar kepala yang menganggap hanya dirinya seorang yang mampu.

"Sebaliknya, ianya dilakukan atas sebab tekanan masa dan suasana sehingga rombakan seperti ini adalah yang paling wajar, munasabah dan diterima akal.

"Rombakan sebegini memenuhi tuntutan kawal selia dan urus tadbir kerajaan yang cekap demi menjamin perkhidmatan kerajaan terhadap rakyatnya akan berjalan lancar setiap saat," kata Ketua Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan dalam sidang media.

Katanya, rombakan tersebut merupakan satu perkara yang dipersetujui bersama oleh PAS negeri itu.

"Ianya dipersetujui atas sebab pilihan raya yang begitu hampir dan tugasan baru, lebih-lebih lagi sebagai exco hal ehwal Islam, infrastruktur dan kemudahan awam, akan memakan masa untuk memahami dan menguasai selok beloknya," katanya lagi.

Bahkan, kata Hasbullah lagi, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani baru sahaja mengambil alih jawatan tersebut, dan menganggap tumpuan perlu diberi kepada usaha meningkatkan tahap PAS negeri dalam pilihan raya umum akan datang.

"Ini adalah kerana PAS Selangor akan turut serta dalam PRU13 ini dengan memenangi kesemua 20 kerusi yang ditandingi.

"Adalah menjadi matlamat PAS dan misi pesuruhjaya untuk menjadikan tema 'PAS ganti Umno', satu realiti politik dan bukan sekadar cogan kata semata-mata," katanya.

Selain Dr Abdul Rani, turut hadir dalam sidang media tersebut ialah beberapa kepimpinan Dewan Harian PAS Selangor termasuk Timbalan Pesuruhjaya Khalid Samad, Setiausaha Mohd Khairuddin Othman dan Ketua Penerangannya, Saari Sungib serta Ketua Wanitanya, Wan Hasrina Wan Hassan.

Mengulas lanjut, Hasbullah berkata PAS negeri melihat pelantikan Dr Ahmad Yunus memegang portfolio belia dan sukan, telah meluaskan lagi peluang kepada parti itu untuk berkhidmat dengan lebih berkesan. Dr Ahmad Yunus sebelum ini merupakan pembantu kepada menteri besar bagi portfolio tersebut.

PAS, tambah Hasbullah, sememangnya ingin bergerak cergas di kalangan golongan muda untuk menghilang kekeliruan dan ketakutan mereka muda terhadap PAS yang didakwanya disemai oleh Umno dan BN selama ini.

Sementara itu, Khalid turut bersetuju bahawa sokongan terhadap PAS tidak terjejas kerana apa yang telah dilakukan oleh exco sebelum ini akan diteruskan, antaranya pemilihan ahli jawatankuasa masjid dan cara mengimarahkannya, walaupun portfolio hal ehwal agama kini dipegang oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Jadi exco belia dan sukan beri ruang lebih luas, motivasi dan menambah sokongan kepada PAS," ujarnya.

Katanya, Islam tidak terhad untuk menjadi exco semata-mata, tetapi meliputi segenap aspek termasuk pendidikan.

Manakala setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata beliau ada menerima laporan akar umbi yang menyatakan sokongan terhadap parti itu tidak terjejas susulan pemecatan Hasan Ali.

Sebaliknya, katanya. jentera di 22 kawasan terus menumpukan mengenai pilihan raya akan datang.

"Ada menyatakan PAS Selangor akan lumpuh dengan terpecatnya Hasan Ali, mereka silap," katanya.

Tiada ulasan: