PAS komited dengan janji untuk menyediakan lot rumah kepada rakyat di Pahang yang belum mempunyai rumah dan menyelesaikan masalah tanah yang telah diusahakan puluhan tahun belum mendapat hakmilik, kata Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
"Azam, niat ikhlas dan keyakinan Pakatan Rakyat Pahang bukan lahir dari angan-angan atau dibuat tanpa asas, tetapi setelah hasil kajian mendalam oleh pelbagai pihak," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang menasihatkan rakyat supaya tidak termakan dengan janji PAS untuk memberikan mereka tanah lot rumah sekiranya parti itu menang dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.
Adnan dilaporkan berkata, ia hanya berupa janji kosong yang agak musathil untuk ditunaikan kerana Pahang kini hanya mempunyai kira-kira 100,000 hektar atau tiga peratus tanah sahaja yang boleh digunakan daripada 3.6 juta hektar tanah di seluruh negeri.
Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang berkata Pakatan yakin dengan tindakan bersepadu antara semua agensi berkaitan, "kita mampu mengatasi masalah tapak rumah dan isu tanah yang menjadi isu utama rakyat".
"Segalanya bermula dengan niat dan kesungguhan, barulah jalan baru akan ditempohi dan dicari sehingga mencapai hasrat yang diinginkan.
"Jika tanpa niat dan kesungguhan, mustahil kini manusia dapat menikmati kemudahan kapal terbang dan juga menjelajah ke bulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Disebabkan adanya niat dan kesungguhan tersebut, tegasnya, maka Pakatan membuat keputusan untuk membuka Felda plantation seluas 143,000 hektar di Pahang untuk membolehkan pemberian tanah dan tapak rumah kepada lebih 40,000 peneroka.
"Disebabkan adanya niat dan kesungguhan tersebut, Pakatan juga telah memikirkan cara untuk membuka kawasan penempatan baru, dan pemberian hak milik kepada penduduk yang mendiami tanah tol sebagai tapak rumah," tegasnya.
Namun, kata beliau, harus diingatkan, apa yang mustahil di zaman BN, tidak semestinya mustahil di zaman PR.
"Sebagai contoh, pemberian tanah kepada rakyat ketika PAS memerintah Terengganu dan juga pemberian air percuma di Selangor, yang didakwa BN bakal membangkrapkan negeri terkaya tersebut – semua dapat dilaksanakan atas niat dan kesungguhan PR.
"Sudah semestinya, bagi pihak berkuasa yang tiada mempunyai niat dan kesungguhan sedemikian, mereka pasti melihat perkara ini sebagai mustahil dilaksanakan dan ancaman kepada kekuasaan mereka," tambahnya.
Tuan Ibrahim berkata, Pakatan akui bukan mudah untuk memberi tanah kepada semua penduduk 1.5 juta Pahang, dan buat masa ini, mungkin ia dilihat sebagai di luar kemampuan.
"Akan tetapi, dengan niat, azam dan kemampuan mentadbir PR, kita yakin mampu menyelesaikan sebahagian masalah tapak rumah untuk rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah tapak rumah.
"Sebagai perbandingan mudah, dalam isu Felda, seperti yang tertera di dalam buku Jingga, PR berjanji untuk memasukkan peneroka di semua ladang Felda berbanding kerajaan BN yang secara sewenang-wenangnya bersetuju memajak ladang kepada FGV selama 99 tahun tanpa memikirkan nasib peneroka," tambahnya.
Katanya, kalau kerajaan BN Pahang sanggup memberikan ribuan hektar tanah kepada pelbagai pihak sama ada perladangan, perkilangan atau pelancongan, malah tanah untuk tapak kilang Lynas yang menghasilkan sisa radioaktif yang bakal membawa bala besar kepada rakyat Kuantan dan Gebeng – mampukah PR memberikan tapak rumah kepada rakyat?
"Sudah tentu ya! Walaupun ada niat dan kesungguhan daripada pihak Pakatan, semuanya tidak akan terjadi tanpa niat dan kesungguhan rakyat Pahang untuk berubah.
"Ayuh rakyat Pahang, berubahlah ke zaman PR untuk ‘Selamatkan Pahang!” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan