Isnin, 9 Januari 2012

Nasrudin: ‘Hasan Ali harus pegang prinsip Islam, kembali semula seperi Abu Bakar Hamzah’


KUALA LUMPUR — Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan menasihatkan Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat keahlian parti Islam itu berkuatkuasa serta-merta semalam agar “tidak lari meninggalkan perjuangan Islam.”

Kata Nasrudin, Dr Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan exco kerajaan negeri harus belajar daripada kesilapan dan mencontohi sikap bekas Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Datuk Abu Bakar Hamzah yang pernah dipecat kerana membuat kenyataan yang bercanggah dengan keputusan parti.

“Kepada Datuk Dr Hasan Ali, jika anda benar-benar ikhlas dengan perjuangan Islam anda tidak lari meninggalkan perjuangan ini sebagaimana pernah berlaku kepada Datuk Abu Bakar Hamzah yang pernah dipecat kerana membuat kenyataan bercanggah dengan keputusan parti.

“Tetapi beliau (Abu Bakar) tidak lari meninggalkan perjuangan suci ini. Beliau berehat panjang dan akhirnya kembali semua kepangkuan PAS di penghujung karier dan usianya,” katanya di laman sosial Facebook.

Abu Bakar yang pernah memegang jawatan setiausaha agung PAS meninggalkan parti Islam itu apabila presidennya Datuk Asri Muda membawa parti itu menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1974.

Selain Abu Bakar, ramai pemimpin utama PAS ketika itu bertindak keluar parti kerana tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Kata Nasrudin (gambar), sayap pemuda PAS itu menyokong penuh keputusan memecat Dr Hasan yang dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat semalam.

Kata beliau, menurut peruntukan parti Dr Hasan masih boleh mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama berhubung pemecatan itu.

“Datuk Dr Hasan Ali dibuang keahliannya berkuatkuasa serta-merta dan menurut perlembagaan parti beliau masih boleh mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama selepas ini. Semoga Allah memberkati keputusan yang dibuat secara syura ini,” katanya.

Dalam satu kenyataan, PAS menjelaskan, pemecatan itu dibuat berdasarkan Fasal 82(9) dan setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Menurut kenyataan itu lagi, keputusan tersebut dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan Dr Hasan yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan PAS.

Dr Hasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia sebelum ini seringkali mengeluarkan kenyataan kontroversi dan “menongkah arus”.

Terbaru beliau menolak perhimpunan 901 dan menyifatkannya sebagai perbuatan sia-sia serta memberi kesan tidak baik terutamanya kepada golongan muda.

Beliau berkata ahli PAS tidak perlu menghadiri perhimpunan berkenaan.

Tiada ulasan: