Sabtu, 21 Januari 2012

Najib Lawat Kelantan Selasa Ini

Post Pic

ANTARA POS.COM


MACHANG : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan melawat Kelantan, Selasa ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata Perdana Menteri dan isteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Yahya Petra, Pengkalan Chepa, pada pukul 12 tengah hari.

Sejurus tiba, Perdana Menteri akan beramah mesra dengan para pemimpin Barisan Nasional (BN) Kelantan dan diikuti menepung tawar 15 buah van Skuad Sayang Pergerakan Wanita Umno Kelantan di lapangan terbang tersebut, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri Temangan di sini, hari ini.

Najib dan isteri kemudiannya akan menghadiri majlis kesyukuran menyambut menantu yang diadakan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Mohamad Fatmi Che
Salleh di kediamannya di Jalan Hospital di sini.

Mustapa berkata, pihaknya juga sedang merancang program lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negeri itu pada awal bulan depan.

"Kehadiran Perdana Menteri dan timbalannya serta pemimpin pusat yang lain akan memberi semangat kepada warga BN untuk bekerja dengan lebih kuat bagi
merampas kembali Kelantan daripada pemerintahan Pas pada pilihan raya umum akan datang," katanya Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Terdahulu ketika berucap pada majlis tersebut, Mustapa berkata "angin perubahan" semakin dirasai apabila terdapat ramai anggota dan penyokong Pas
yang "muak" dengan janji kosong pemimpin Pas, menyertai Umno.

Beliau juga mahukan pemimpin Umno di semua bahagian di negeri itu bekerja keras mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat serta mengerakkan jentera
penerangan bagi menjelaskan isu-isu semasa kepada rakyat.

Pada majlis tersebut seramai 73 anggota dan penyokong Pas kawasan Temangan menyerahkan Borang Keahlian Baru Umno kepada Mustapa sebagai tanda mereka
menyertai parti itu.

Wakil kumpulan berkenaan, Che Mustapha @ Che Pa bin Said, berkata mereka meninggalkan Pas kerana sudah "muak" dengan sikap pemimpin Pas yang suka menipu
rakyat dengan janji manis yang tidak ditunaikan.

Tiada ulasan: