Khamis, 12 Januari 2012

Najib dinasihatkan supaya teladani Gorbachev

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa menolak ketepi golongan ahli Umno 'beraliran garis keras atau “hardliner' dan membuat perubahan sekalipun tindakan itu mungkin menyebabkan kehilangan kuasa.

NONEBekas menteri kabinet dan ahli veteran Umno Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir dalam membuat saranan itu berkata majoriti akar umbi Umno daripada lebih tiga juta ahli, berasa tidak gembira kerana merasakan wujudnya amalan kronisme, pembaziran, rasuah dan ketirisan yang memerlukan "perubahan radikal".

"Kumpulan yang menentang ini, sekadar pemimpin yang ada kepentingan sahaja. Berapa jumlah mereka ini, sepuluh ribu, lima ribu, itu sahaja?

"Kalau beliau (Najib) berani membuat sesuatu yang popular dan betul, majoriti ahli parti akan menyokongnya," kata Kadir yang kini berusia 73 tahun dan telah berkecimpung aktif dalam politik sejak tahun 1970an.

Keikhlasan dipersoal

Kadir yang juga timbalan presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) ketika diwawancara bersama Malaysiakini, mengakui Najib banyak membuat "kenyataan yang menarik" dan dipercayai mendapat nasihat secukupnya mengenai perkembangan ehwal semasa.

"Tetapi apa yang belum saya lihat... sekalipun saya menghargai pengumuman yang baik itu, (tetapi) pelaksanaannya seolah-olah dilihat ada kekurangan. Jadi, keikhlasan pelaksanaannya menjadi tanda tanya," katanya.

Last day of Abdullah Ahmad Badawi. Najib Abdul Razak takes over as prime minister in PutrajayaSelepas mengambil alih pentadbiran dari Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008, Najib cuba menonjolkan dirinya sebagai seorang reformis bagi mendapatkan semula sokongan masyarakat yang semakin memihak Pakatan Rakyat dengan memperkenalkan pembaharuan yang liberal.

Bagaimanapun, agenda perubahannya mendapat tentangan daripada kumpulan aliran garis keras Umno dan kumpulan pendesak Melayu sehingga menyaksikan inisiatifnya itu seringkali ditukar atau ditangguhkan.

Paling ketara Model Ekonomi Baru (MEB) bahagian kedua yang diperkenalkan pada akhir 2010, gagal untuk menghapuskan ekuiti 30 peratus bumiputera dan meluluskan cadangan suruhanjaya kesamarataan selepas diasak dan dibantah oleh PERKASA.

Ditanya sama ada BN atau Pakatan Rakyat mempunyai kelebihan berdasarkan situasi politik ketika ini, Kadir bagaimanapun menegaskan beliau sukarnya menyatakannya.

Serahkan kepada rakyat

Sebaliknya beliau berdoa agar Najib meneladani pemimpin hebat dalam lipatan sejarah dunia seperti Presiden Perancis Charles de Gaulle dan Setiausaha Agung Kesatuan Soviet Mikhail Gorbachev.

NONECharles menamatkan penaklukan Perancis di tanah jajahannya di Afrika manakala Gorbachev menolak cadangan campurtangan tentera dalam Palkatan Warsaw dan membubarkan Kesatuan Soviet bagi mengakhiri perang dingin.

"Di Malaysia, saya berharap Najib, dapat memberi kemerdekaan kepada rakyat seperti mana Tunku dan bapanya berikan dahulu. Serah sahaja kepada rakyat untuk memilih kerajaan serta (adakan) pilihan raya yang benar-benar bersih dan adil.

"Apa sahaja keputusannya, beliau akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang hebat. Apa sahaja yang keputusannya, beliau boleh berdiri dengan bangga di mana beliau telah melakukan sesuatu yang terbaik untuk generasi akan datang.

"Pemimpin hebat sepatutnya berfikir begitu," kata Kadir yang juga bendahari Umno bahagian Kulim Bandar-Baharu.

Tiada ulasan: