Sabtu, 21 Januari 2012

Melayu Masuk DAP : Pas Tidak Gusar

Post Pic

ANTARA POS.COM


KUALA LUMPUR: Pas menyifatkan kemasukan beberapa individu Melayu dalam DAP sebagai “perkembangan sihat” dan bukan sesuatu yang akan menghakis sokongan untuk Pas sendiri, kata Naib Presidennya Mahfuz Omar.

Bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Hatta Wahari menjadi orang terbaru menyertai DAP semalam di Kuala Lumpur. Beliau bertindak demikian setelah dipecat oleh Utusan Malaysia kerana sering mengkritik akhbar itu.

Sebelum ini penulis blog terkenal daripada Umno, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, yang juga bekas wakil rakyat Pulau Manis dan ahli veteran Umno Negeri Sembilan Aspan Alias menyertai DAP.

Mahfuz berkata kemasukan mereka ke dalam DAP akan membantu menangkis serangan Umno terhadap DAP.

“Saya pun tidak risau, ini menunjukkan perkembangan yang sangat baik kepada politik Malaysia apabila usaha Umno untuk menakutkan orang Melayu dan DAP tidak ada lagi,” katanya.

Mahfuz menegaskan Pas tidak merasa tergugat dengan kemasukan individu Melayu dalam DAP dan menegaskan perkembangan itu tidak membabitkan peruntukan kerusi tambahan kepada DAP.

“Kita tidak risau dan kerusi itu telah pun dibahagikan kepada beberapa banyak kerusi yang akan bertanding terpulang kepada dia,” kata beliau.

“Kalau dia hendak letak calon Melayu, calon Cina terpulang kepada DAP. Kerusi PAS sudah ada sekian banyak, kerusi Keadilan sudah ada sekian banyak,” tambahnya.

Mahfuz menyifatkan kemasukan Hata dalam DAP sebagai bukti kaum Melayu tidak terpengaruh dengan tuduhan bahawa DAP sebuah parti rasis.

“Dia dulu bekas wartawan arus perdana Utusan Malaysia yang sangat memainkan peranan untuk menakutkan orang Melayu (jadi) ketakutan orang Melayu sekarang adalah gagal,” katanya kepada AntaraPos.com ketika dihubungi tadi.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi mendedahkah rahsia DAP mahu mengambil orang-orang Melayu secara beramai-ramai untuk masuk DAP.

Zahid mendakwa mereka ini diatur untuk bertanding pada PRU akan datang supaya pembangkang dapat menawan kembali Perak dan DAP mempunyai calon untuk dijadikan Menteri Besar.

Tiada ulasan: