Jumaat, 27 Januari 2012

Lepas Azmin, Pas Selangor Lancar Kecaman Terhadap Hasan Ali

Post Pic



SHAH ALAM : Pas Selangor hari ini menyusul Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Azmin Ali untuk mengecam Datuk Dr Hasan Ali beberapa hari sebelum bekas Exco Selangor itu memulakan siri jelajahnya untuk mendedahkan apa yang dilihatnya sebagai parasit dalam PAS.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad menuduh Hasan sebagai seorang yang hanya mementingkan pangkat dan jawatan sehingga sanggup mempersoalkan perjuangan Pas.
"Siapa yang anggap tak ada orang boleh pegang jawatan dalam PAS melainkan diri dia. itulah dia (Hasan Ali)", kata beliau.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr. Abdul Rani Osman juga tidak bimbang dengan program siri jelajah oleh Hasan yang akan bermula di Shah Alam Isnin depan.
"Kalau dia (Hasan Ali) nak kutuk saya atau Datuk Seri Anwar Ibrahim, jangan buat satu malam, buat tiap malam sebab rakyat nak menilai apa yang dia katakan" kata Rani.

Dalam pada itu, Setiausaha PAS Selangor Khairuddin Othman pula menegaskan parti itu tidak terjejas dengan penyingkiran Hasan oleh Jawatakuasa Pusat parti itu.
"Kita tidak terjejas dengan pemecatan Dr Hasan Ali. Malah jentera kita makin kuat. Jadi bagi mereka yang merasakan PAS Selangor akan lumpuh dengan pemecatan Hasan Ali mereka silap,” kata beliau.
Semalam, Azmin menyifatkan Hasan sebagai parasit yang akan ditentang oleh Pakatan Rakyat jika beliau membuat sebarang fitnah dalam siri ceramahnya itu,
Sebelum ini Hasan berkata beliau dipecat Pas atas desakan Azmin kerana membantah perhimpunan anjuran PKR untuk menyokong Anwar sempena dengan keputusan kes liwatnya 9 Januari lalu.
Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu turut mendakwa bahawa beberapa parasit dalam Pas kini sedang cuba mengubah hala tuju parti itu daripada matlamat menegakkan sebuah Negara Islam.

Tiada ulasan: