Jumaat, 27 Januari 2012

Insiden Jln. Kebun - Khalid Samad seru Tolak Politik Samseng.

Syukri Hamzah

alt

SHAH ALAM – Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad hari ini menyelar tindakan Umno dan Barisan Nasional yang memanipulasi golongan bawah umur untuk kepentingan politik mereka.

Menurut Khalid, PAS menolak sekeras-kerasnya tindakan tersebut yang boleh merosakkan generasi muda.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang insiden kekecohan yang berlaku di Dewan MBSA Jalan Kebun Sabtu lalu ketika ceramah ‘Asal Bukan Umno’ (ABU) anjuran bersama Hindraf di mana sekumpulan remaja bermotosikal yang bersenjatakan kayu dan topi keledar tiba-tiba membuat kecoh.

“Yang terlibat adalah golongan remaja bawah umur. Umno cuba mempergunakan golongan ini untuk kepentingan politik mereka. Kita tolak sekeras-kerasnya tindakan sebegini. Ianya merosakkan generasi muda,” kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

“PAS Selangor mengutuk sekeras-kerasnya tindakan politk samseng ahli dan penyokong Umno itu. Ini membuktikan yang Umno/BN sudah tidak lagi mampu untuk mentadbir negara yang berbilang bangsa dan agama.

“Insiden tersebut turut membuktikan betapa terdesaknya Umno untuk mengekalkan kuasa sehingga sanggup menggunakan tindakan samseng untuk mempertahankan pembohongannya terhadap rakyat,” tambah Khalid.

Menurutnya, PAS Selangor mendesak polis menjalankan siasatan secara profesional dan menahan pihak yang bersalah dalam insiden yang memalukan itu.

“PAS Selangor menyeru rakyat jelata untuk menolak politik samseng anjuran Umno dan kembali kepada politik Islam yang berakhlak mulia dan mengutamakan perdamaian.

“Politik samseng adalah corak politik golongan yang kehabisan modal dan terdesak sedangkan Islam tidak sekali-kali kehabisan modal ataupun terdesak. PAS menyeru umat Islam untuk berhijrah kepada politik Islam dan meninggalkan Umno dengan politik samsengnya,” katanya.

Tiada ulasan: