Jumaat, 27 Januari 2012

Gaji Perdana Menteri berapa ringgit?

Oleh Izmil Amri


“Apa cita-cita kamu?” tanya guru kelas, pada setiap awal tahun. Niat dia barangkali untuk berkenal-kenal, atau paling kurang beri inspirasi supaya anak murid kejar cita-cita itu. Anak murid selalunya akan beri jawapan kerja profesional: doktor, peguam, arkitek, guru, akauntan. Jawapan-jawapan biasa.

Pastinya mereka juga tahu apa kerjanya seorang doktor, peguam dan akauntan itu semua. Takkanlah mahu jadi peguam sebab mahu kerja menoreh getah.

Saya ada seorang jiran di kampung. Dia ini dahulu katanya telah jatuh dari anjung rumahnya, yang berada di tingkat tiga kuarters Hospital Besar Pulau Pinang. Kemudian baru dia pindah ke kampung saya. Maka disebabkan insiden jatuh dari tingkat tiga itu, kepalanya sedikit gelong.

Saya tidak tahu sebenarnya berapa tingkat kuarters hospital besar, mahu pun hakikat sama ada dia jatuh dari ketinggian itu. Senang cerita, dia sedikit tak betul.

Sedikit tak betul adalah jauh beza daripada gila. Bila kita sebut gila, orang yang disebut gila itu punya kemungkinan untuk melintas lebuhraya KL – Seremban di kala lalu lintas sesak, tanpa memakai sehelai pakaian pun. Itu gila.

Tetapi jiran saya ini cuma sedikit tak betul. Dia rajin bertandang ke rumah kalau di dapat tahu bapa saudara saya pulang dari Kuala Lumpur. Bapa saudara saya pula akan jenuh sembunyi tak mahu bersua muka. Hanya kerana jiran saya ini ‘sedikit tidak betul’.

Dia mahu jadi Perdana Menteri

Arakian maka disebutlah orang akan kisah jiran saya ini yang dahulu kalau ditanya apa cita-citanya akan tuntas menjawab dia mahu jadi Perdana Menteri. Sebelum memberi jawapan itu, dia akan tanya dahulu, ‘Gaji Perdana Menteri berapa ringgit?’ Demikian keadaanya jiran saya ini yang seperti saya katakan, ‘sedikit tak betul’.

Saya sebut tentang kisah jiran saya yang tak betul ini kerana bagi saya, hanya orang yang tertentu sahaja yang akan punya cita-cita untuk jadi Perdana Menteri. Jawatan Perdana Menteri bukan macam jawatan mat despatch atau juruwang pasar-mini dua puluh empat jam yang boleh diiklan di tiang-tiang lampu atau pondok telefon.

Jiran saya ini mungkin tidak arif soal itu. Barangkali dia selamba bertanya gaji Perdana Menteri berapa ringgit supaya mungkin satu hari nanti bila dia sudah besar, dia boleh isi borang mahu jadi Perdana Menteri.

Manusia normal macam saya dan anda mungkin mahu jadi loyar atau doktor atau ahli bomba apabila disoal tentang cita-cita. Yang tidak berapa normal mungkin punya cita-cita mau kerja FRU, tapi itu cerita lain.

Apa seronoknya jadi Perdana Menteri

Apa yang seronok sangat jadi Perdana Menteri ini? Adakah mungkin dapat wanita cantik untuk dibuat isteri? Kalau itu yang dikejar, cukup sekadar jadi Ketua Menteri Sarawak. Kalau Perdana Menteri sekarang, perempuan cantik pula yang tidak berani mendekat.

Adakah pula kerana mahu kumpul harta? Kalau mahukan itu, lebih baik buka kasino atas bukit. Harta dari aktiviti itu, tujuh generasi makan pun belum tentu habis. Bukan setakat beg tangan, kilang beg tangan pun boleh beli.

Ataukah pula kerana mahu popular dan ternama? Lebih baik jadi penyanyi hip hop. Kalau agak-agak usia sudah lanjut, menyanyilah lagu irama Malaysia. Kalau mahu dikenal orang, jadi artis. Politisi bukannya susah-susah perlu belajar berlakon. Lihat sahaja filem pendek lakonan Ketua Pemuda UMNO. Bakat yang begitu hebat akhirnya dikembangkan dan berlakon pula dia menjadi tentera.

Selain itu apa lagi yang boleh dikecap kalau jadi Perdana Menteri? Mau syurga? Pergi masjidlah. Mau berucap supaya semua orang dengar, buatlah video youtube. Mau bikin polisi negara? Cukuplah sekadar jadi menteri biasa. Apa nak dihairan sangat jawatan Perdana Menteri ini?

Tapi jiran saya itu bersungguh juga mahu jadi Perdana Menteri. Bagaimana? Apa dia tahu sebenarnya apa kerja Perdana Menteri, apa kerja politisi?

Malap harapan

Partai Keadilan Sejahtera menyatakan slogannya; Bekerja Untuk Indonesia. Ia jelas memberi definisi hala tuju partai itu, sebagai sebuah parti dakwah, dan parti yang terkedepan dalam soal kebajikan dan pantas membantu bila ada musibah melanda rakyat Indonesia.

Selain popular sebagai parti yang paling bebas korupsi, maka rakyat Indonesia senang dengan parti itu, dengan pembawakannya yang demikian lembut dan santun sebagai khadam kepada bangsa Indonesia.

Parti-parti politik di Malaysia masih menggapai definisi pekerjaannya. Kebanyakan darinya berahi betul dengan terma perjuangan, maka sekalian parti politik pembangkang senang dengan kerja memperjuangkan sesuatu. Keadilan sosial, keserataan di mata pemerintah, kebajikan dan kebebasan daripada opresi aparat pemerintah dan segala yang sewaktu dengannya.

Parti pemerintah, lebih teruk lagi. Entah apa kerjanya sehingga sangkut dalam perjuangan ketuanan etnosentrik serupa walau pun negara sudah lebih lima puluh tahun merdeka.

Kerja parti pemerintah yang paling mencuri tumpuan antara lain termasuklah aktiviti menternak lembu di dalam kondo dan memperkaya adik-beradik. Aktiviti mengumpul kekayaan ini tampak sebagai profesyen utama parti pemerintah, yang malangnya bukanlah profesyen yang sewajarnya sebagai pejuang bangsa dan pembela ketuanan apa saja.

Untuk menjadi parti pemerintah perlu menang pilihan raya. Sebelum itu kena sediakan pemimpin untuk teraju kerajaan.

UMNO memilih Perdana Menteri Malaysia apabila memilih presidennya melalui perhimpunan agungnya. Yang hadir ke perhimpunan agung ini pula adalah delegasi yang dipilih dari kalangan kroni ketua bahagian.

Semakin malap harapan jiran saya itu untuk menjadi Perdana Menteri. – Roketkini.com

Tiada ulasan: