Ahad, 8 Januari 2012

Aziz Bari: PAS lebih kuat tanpa Hasan Ali

MerdekaReview


PAS Pusat akhirnya membuat keputusan untuk memecat keahlian Hasan Ali dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, tetapi tidak dimaklumkan kedudukan Hasan Ali sebagai EXCO kerajaan negeri Selangor dalam kenyataan media. Menurut laporan Harakah Daily, lidah parti versi internet, "PAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, PAS Pusat telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian Hasan Mohd Ali sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta merta."

Dalam satu kenyataan media daripada PAS, yang ditujukan untuk Harakah sebagaimana yang difahamkan MerdekaReview, berbunyi, "Setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa PAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, PAS Pusat telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian YB Dato’ Dr Hasan Mohd Ali (gambar kanan) sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta merta.

Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan YB Dato’ Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan kepentingan Parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS
."

Hasan Ali terkejut dengan tindakan drastik

Pada jam 5 petang tadi, Hasan Ali melalui satu kenyataan ringkasnya berkata, "Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t. sebentar tadi saya menerima berita pemecatan saya sebagai ahli PAS dengan serta merta. Saya amat terkejut dengan tindakan drastik yang di ambil oleh AJK PAS Pusat itu."

"Saya turut bersedih kerana perjuangan Islam saya selama ini dibalas sedemikian rupa. Saya akan merujuk kepada sahabat-sahabat dan meminta pandangan daripada teman-teman Ulama’ mengenai tindakan selanjutnya yang patut saya ambil. Saya akan memanggil sidang akhbar dalam masa yang terdekat untuk menjelaskan lagi kedudukan perkara ini," katanya.

Muslimat PAS menyambut baik

MerdekaReview cuba menghubungi beberapa orang pimpinan tertinggi, namun tidak dijawab panggilan. Bagaimanapun, Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi menyambut baik, mengucap "syabas dan tahniah" terhadap keputusan PAS Pusat, menyifatkannya sebagai tindakan yang "berani". Ketika dihubungi MerdekaReview, Aiman berkata, Hasan Ali telah menjadi liabiliti parti dengan kenyataan yang dikeluarkannya selama ini.

Terbaru, apabila beliau menggalakkan pelajar dan siswa tumpukan pelajaran dan tidak terlibat dalam perhimpunan pada 9 Januari, hari mahkamah tinggi membuat keputusan kes liwat II yang membabitkan Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim. Menurut Aiman, pendirian yang mahukan generasi muda hanya tumpu kepada pelajaran semata-mata bukan sikap PAS. PAS melihat golongan siswa sangat signifikan untuk memastikan negara berada dalam landasan terbaik dalam semua aspek.

Aiman menambah, kenyataan terbaru Hasan Ali menunjukkan beliau seolah-olah memusuhi kebangkitan anak muda yang mahukan negara ini ke arah yang lebih baik. Untuk Aiman, kenyataan yang tidak selari dengan PAS ini adalah klimaks beliau dipecat dari parti.

Dewan Pemuda mendokong keputusan

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia mendokong "keputusan yang dibuat secara musyawarah oleh PAS Pusat sebentar tadi bahawa Hassan Ali dibuang keahliannya berkuat kuasa serta merta dan menurut peruntukan perlembagaan parti, beliau masih boleh mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama' selepas ini. Semoga Allah memberkati keputusan yang dibuat secara syura ini."

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin bin Hassan (gambar kanan) dalam Facebooknya berkata, "Kepada Hassan Ali, jika anda benar - benar ikhlas dengan perjuangan Islam, anda tidak lari meninggalkan perjuangan ini sebagaimana pernah berlaku kepada Abu Bakar Hamzah yg pernah dipecat kerana membuat kenyataan yg bercanggah dgn keputusan parti, tetapi beliau tidak lari meninggalkan perjuangan suci ini. Beliau berehat panjang dan akhirnya kembali semula kepangkuan PAS di penghujung karier dan usianya."

Aziz Bari: PAS lebih kuat tanpa Hasan Ali

Di samping itu, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdul Aziz Bari menganggap PAS akan menjadi lebih kuat tanpa Hasan Ali . Beliau berkata, Hasan Ali tidak berdisiplin dan wajar dipecat.

Hasan Ali mencetus kontroversi dengan beberapa kenyataan dan tindakan beliau yang dilihat tidak selari dengan parti dan Pakatan Rakyat selepas menyandang jawatan EXCO dalam kerajaan negeri Selangor. Ditanya sama ada keputusan PAS Pusat ini telah "terlewat" dari segi masanya, Aziz Bari (gambar kiri) berkata, "Yang penting ia baik; PAS perlu masa untuk menimbang keputusan itu."

Ketika dihubungi MerdekaReview, Aziz Bari menjangka kesan keputusan ini adalah positif, dan Hasan Ali sebenarnya tiada penyokong seperti yang didakwanya.

Tiada ulasan: