Tidak kurang yang terbeliak dengan keberanian mahasiswa, berikutan beberapa kejadian baru-baru ini, terutamanya apabila satu himpunan solidariti untuk Adam Adli di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada awal tahun 2012, berakhir dengan pertembungan berdarah antara polis dengan siswa.
Dalam satu forum berjudul "Adam Adli, Kebebasan Akademik & Kebangkitan Mahasiswa", semalam, Adam Adli berkongsi pengalaman dirinya yang sarat dengan jenaka, dan titisan air mata yang terharu, bersama lebih 150 orang hadirin.
Beliau menafikan dakwaan bahawa himpunan pada awal pagi 1 Januari 2012 di UPSI adalah untuk menghantar memorandum. Sambil berseloroh Adam berkata, sudah dua kali SUHAKAM menerima memorandum daripada mahasiswa, malah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Saifuddin Abdullah mungkin membaca memorandum mereka setiap hari. Maka tiada makna untuk mereka teruskan dengan penyerahan memorandum.
"Kita berkumpul pada malam itu untuk menyambut tahun baru cara aktivis!" katanya, sebelum meneruskan, "Aktivis ni dia lain, instead of going to KLCC, untuk tengok bunga api ataupun (pergi) i-City untuk bersalaman dengan Najib, kita duduk dekat pagar UPSI tu, kita nak ambil gambar, kita nak baca puisi, kita nak menyalakan lilin, tanda solidariti."
"Sebab malam tu memang niat ni. Saya puji rakan-rakan mahasiswa kerana mereka... Seorang jatuh, ratus akan bangun. Itu adalah prinsip yang dipegang," kata Adam, yang diberi notis untuk menghadap Lembaga Disiplin UPSI pada 9 Januari 2012, berikutan perbuatannya menurunkan bendera berwajah Najib di PWTC pada 17 Disember 2011.
"Pada malam itu, tidak ada salahnya kalau mereka ada solidariti untuk Adam Adli, kerana saya sendiri juga, kalau sesiapa sahaja yang jatuh lepas ini, kita akan naik sama-sama. Tak ada masalah!"
Tak dapat kubu AUKU, siswa pula dikuburkan!
Adam berkata tiada senjata dibawa oleh siswa pada malam itu, untuk "aktiviti countdown" selama 16 jam sebagaimana yang dirancangkan. Beliau berkata itu adalah kebebasan mahasiswa, selagi tiada jenayah dilakukan. Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa mereka sebenarnya membawa satu keranda AUKU, yang ingin dikuburkan oleh siswa. Niat asal mereka adalah membaca talkin untuk AUKU, akta zalim yang bakal dikuburkan. "Tak dapat kubur AUKU, siswa pula dikuburkan!" katanya sambil berjenaka.
Adam mendakwa bahawa banyak yang dirinya belajar, lantaran daripada peristiwa berdarah itu. Antaranya kesabaran, cara berdepan dengan polis dan sebagainya. Malah beliau mencerita, bagaimana salah seorang tahanan perempuan ditahan kerana "ditipu" polis, kononnya polis berkata "ada orang nak jumpa cik di dalam (balai polis)", maka perempuan itu mengikut polis, dan kemudiannya diberitahu pula bahawa dirinya sebenarnya "ditahan".
Bagaimanapun, Adam berkata dirinya terkesan dengan ulasan Syed Husin Ali, bekas Timbalan Presiden PKR, selepas peristiwa berdarah itu berlaku. "Kalau tak mampu tunaikan tuntutan pelajar, buat apa pukul?" Ayat yang sangat dalam maksudnya untuk Adam Adli, yang sepanjang ini terlibat dalam perjuangan mahasiswa.
Adam turut mengimbas perasaannya ketika melawat rakan seperjuangannya, Safwan Anang di hospital. Menurut Adam, Safwan berbisik kepada Adam, sebelum Adam beredar, "'Adam, aku nak kongsi sakit dengan semua orang'. Saya (Adam) tak tahu nak cakap apa. Dia (Safwan) minta maaf, kepada kawan-kawan yang masuk lokap. 'Aku tertua tapi tak sampai nak jaga kau orang'."
Tapi untuk Adam, Safwan telah menaruhkan nyawanya pada malam itu, apabila diganasi sehingga darah terkeluar dari mulutnya.
Faham tuduhan=Mengaku salah?
Adam Adli sempat berkongsi pengalamannya ketika masuk ke "mahkamah universiti" pada 9 Januari 2012, duduk berseorangan dalam kamar tertuduh berdepan dengan lapan orang panel yang mengadilinya. Setelah dibacakan tuduhan oleh pendakwa, Adam ditanya Naib Canselornya, juga ahli panel yang mengetuai perbicaraan, "Jadi, Adam, awak faham ke tak tuduhan?"
"Saya kata, ya saya faham. Dia pandang pendakwa, dia senyum, dia cakap, okay, tertuduh dah mengaku bersalah. Ni apa benda ni?" persoal Adam, mencetus gelak dari bawah pentas.
"Saya terkejut. Saya bangun dan kata 'ni apa ni?'" Namun mengikut logik ahli panel, faham tuduhan bermakna tertuduh dah mengaku salah. "Kat situ I dah fed up, saya cakap that's it, saya layan dia orang macam dia orang layan saya! So, saya cakap, 'Saya faham, memanglah saya faham, tapi saya mengaku saya tidak bersalah.' Lepas tu dia tergelak-gelak, kata 'tak apalah, kita baca dulu tuduhan kedua, ya?'"
Menurut Adam lagi, Zainal Kling selaku panel pemerhati, membawa keratan print screen dari internet, mendakwa menurut kajiannya, terdapat 242 ribu carian di Google, bawah nama Adam Adli Abdul Halim, cukup untuk membuktikan bahawa Adam telah mencemarkan nama universiti. Zainal Kling adalah ahli akademik yang mengeluarkan kenyataan bahawa Tanah Malaya tidak pernah dijajah.
"Saya gelak terus. Saya kata 'Tuan, itu bukan mencemar nama universiti, itu bukti saya dah famous-lah (terkenal) tu!" Adam sempat menyindir dalam tepukan dan gelak ketawa, bahawa beliau faham Zainal Kling terpaksa berbuat demikian kerana kontraknya sudah tamat dan perlu disambungkan. Adam mendakwa dirinya malas untuk berdebat dengan panel, melihat keadaannya sebegitu. Beliau meminta untuk tunggu di luar sementara keputusan dibuat, dan beliau kemudian dipanggil masuk dan dibacakan hukumannya selepas 15 minit.
Bagaimanapun, sesuatu di luar jangkaannya menunggu beliau di pintu UPSI, apabila melihat kira-kira 400 orang berkumpul di sana. Adam mendakwa dirinya masih keraguan sama ada kumpulan orang itu penyokong atau orang yang memusuhinya. Apabila ketibaannya disambut dengan sorakan, dan beliau diminta berucap, beliau dengan yakin berkata, "Berbaloilah tiga sem kena gantung sebab pelajar UPSI telah bangkit!"
Turut hadir sebagai panelis adalah aktivis seni Fahmi Reza dan Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik, BEBAS Muhammad Safwan Anang. Forum anjuran Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Selangor-KL di auditorim bangunannya itu dipengerusikan oleh Syukri Razab dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Aunty BERSIH, Anne Ooi, dan bekas aktivis siswa yang pertama menyaman kerajaan kerana AUKU, Soh Sook Hwa juga hadir untuk memberi sokongan.
Baca: Bapa Adam Adli tolak tawaran "mohon maaf kepada PM"
Baca: Siswa dipuji Tengku selepas patahkan tiang bendera Filipina, tahun 1968
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan