Khamis, 6 Oktober 2011

Perkasa minta siasat transaksi saham Sime Darby-E&O

Siasatan terperinci perlu dibuat jika wujudnya krisis kepentingan, penyelewengan dan salah laku penjawat awam, kata ketua penerangan Ruslan Kasim.



KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pembelian 30 peratus ekuiti syarikat Eastern & Oriental Berhad (E&O) bernilai RM776 juta oleh Sime Darby Berhad (Sime Darby).

Laporan itu dibuat oleh Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kasim di Bangunan SPRM Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini petang tadi.

Bercakap kepada pemberita, Ruslan berkata siasatan terperinci perlu dibuat jika wujudnya krisis kepentingan, penyelewengan dan salah laku penjawat awam ke atas transaksi dagang dan pembelian saham terbabit yang berharga RM2.30 seunit.

Ruslan berkata, transaksi berprofil tinggi dalam jangka masa singkat menunjukkan timbulnya keraguan tentang peranan yang dimainkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) Tan Sri Zarinah Anwar dalam transaksi yang melibatkan suaminya sendiri yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif E&O Datuk Azizan Abdul Rahman.

‘Insider trading’

Beliau mendakwa wujud aktiviti dagangan dalaman (insider trading) memandangkan beberapa pengarah E&O termasuk Datuk Azizan didapati telah membeli saham syarikat tersebut sebelum diumumkan pembelian 30 peratus oleh Sime Darby.

“Walaupun Zarinah terpaksa mengumumkan beliau tidak campur tangan dalam siasatan berkaitan dengan urusan tersebut, tetapi apakah tiada kemungkinan imej dan pengaruh yang dimilikinya sebagai Pegerusi SC dapat pula mempengaruhi sebarang tindakan dan keputusan sepanjang siasatan dilakukan.

“Kenapa dalam keadaan baru lepas menanggung kerugian berbilion ringgit, Sime Darby sanggup membayar sehingga 60 peratus lebih dari harga pasaran E&O?,” soal Ruslan selain turut membangkit persoalan penglibatan individu yang menjadi dalang dalam permainan transaksi ini.

Sehubungan itu, beliau mendesak SPRM bertindak dengan segera menyiasat isu ini tanpa pilih bulu sama ianya melibatkan ‘ikan paus’ atau ‘ikan bilis’ dan mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan jika terbukti wujudnya salah guna kuasa.

Siasatan ini amat diperlukan sekaligus bagi melindungi dan menjamin ketelusan, kewibawaan dan integriti sebuah badan pengawas selia kewangan sektor awam berprofil tinggi seperti SC, katanya.

Isu membabitkan Azizan timbul selepas beliau didakwa telah membeli kira-kira 450,000 saham syarikat hartanah daripada pasaran terbuka membabitkan lima transaksi berasingan sejak April dan Ogos tahun ini.

Tiga daripada transaksi dibuat antara Julai dan Ogos dan transaksi terakhir membabitkan pembelian 100,000 saham pada 12 Ogos lalu.

Penguasaan itu menjadikan Sime Darby sebagai pemegang saham terbesar dalam syarikat hartanah yang memiliki Hotel E&O di Pulau Pinang.

Sementara itu, SC yang diketuai dua pegawai kanannya Datuk Francis Tan dan Datuk Gumuri Hussain telah mula melakukan siasatan menyemak transaksi saham E&O-Sime Darby sejak bulan lalu, manakala Zarinah terpaksa menarik diri dalam siasatan itu.

Tiada ulasan: