Rabu, 12 Oktober 2011

KEADILAN: Dakwa Ananda Krishnan kerana salahguna kuasa, rasuah

Oleh: Sidiqin Omar



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen KEADILAN hari ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat jutawan terkemuka, Tan Sri Ananda Krishnan kerana didakwa terlibat dengan rasuah dan salahguna kuasa.

Ananda, pengarah Maxis Communication sebelum ini diketahui umum merupakan proksi dan sahabat baik kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, siasatan itu penting untuk membantu Biro Siasatan Pusat India (CBI) berhubung jenayah yang dikatakan berkaitan pemilikan syarikat telekomunikasi India, Aircel.

“Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM Malaysia 2009 memperuntukkan, bahawa memberi suapan kepada mana-mana orang atau ejen adalah kesalahan.

“Manakala Seksyen 66 Akta memperuntukkan bahawa SPRM dan mahkamah Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa dan menghukum rakyat Malaysia dan penduduk tetap yang melakukan rasuah di negara-negara asing,” katanya pada sidang media di lobi parlimen, hari ini.

Laman web ekonomi The Edge semalam melaporkan bekas Menteri Telekomunikasi India, Dayanidhi Maran sedang disiasat pihak berkuasa negara itu kerana rasuah dan salahgunakuasa, berdasarkan laporan The Hindustan Times pada Isnin lalu.

Ia berikutan aduan ahli perniagaan, C Sivasankaran bahawa dia dipaksa keluar dari syarikat Aircel oleh bekas menteri berkenaan dan menjual kepentingannya kepada Kumpulan Maxis dari Malaysia.

Ananda Krishnan dan rakannya, Ralph Marshall didakwa terlibat melakukan konspirasi jenayah itu bersama Dayanidhi dan adiknya Kalanidhi.

Maran telah menghentikan permohonan lesen 2G Aircel apabila ia dimiliki oleh Sivasankaran.

Namun kemudiannya meluluskan permohonan itu selepas kepentingan syarikat itu bertukar tangan apabila Sivasankaran menjualnya kepada Maxis.

CBI telah mendaftarkan kes terhadap Maran dan adiknya, Ralph Marshall, Anandkrishnan dan tiga syarikat di bawah seksyen 120b IPC yang dibaca bersama Seksyen 13 (2) 13 (1) (d) dan juga seksyen 7 dan 12 Akta Pencegahan Rasuah.

Kes tersebut telah didaftarkan pada 9 Oktober di Delhi dan Chennai.

“Pihak berkuasa Malaysia perlu mengambil tindakan. Ini bagi mengekalkan kredibiliti dan reputasi perniagaan Malaysia dan kerajaan Malaysia,” tegas William.

Tiada ulasan: