Selasa, 18 Oktober 2011

Himpun: ‘Kami agresif pertahan akidah, bukan agresif secara fizikal’


KUALA LUMPUR– Himpunan Sejuta Umat (Himpun) hari ini menolak tanggapan sesetengah pihak termasuk Islamic Renaissance Front (IRF) bahawa gerakan itu merupakan usaha agresif umat Islam ke atas masyarakat bukan Muslim khususnya Kristian dan mahu melaga-lagakan penganut berlainan agama.

Sehubungan itu menurut Pengerusi Bersama Himpun Dr Yusri Mohamad, pihaknya juga menjemput pertubuhan itu untuk sama-sama menyertai perhimpunan ini dalam usaha mereka mempertahankan akidah umat Islam.

“Saya jemput mereka untuk bersama-sama kami, berhimpun dan mereka akan faham motif utama kami menganjurkan perhimpunan ini,” kata beliau pada sidang media bersama Gabungan Penasyid-Penasyid Malaysia (Munsyid) yang turut mahu menyertai Himpun.

“Perhimpunan ini tidak bersifat agresif, secara negatif, sebaliknya bersifat positif, kami agresif mempertahankan akidah Islam dan bukan agresif secara fizikal,” jelasnya lagi.

Himpun diadakan Sabtu ini untuk membincangkan isu murtad.

Dalam satu kenyataan semalam, IRF berkata tiada perangkaan tepat mengenai kes murtad dan bimbang Himpunan Sejuta Umat akan memberi gambaran salah dan buruk tentang Islam.

Dalam satu kenyataan semalam juga, PAS Selangor tidak akan memberi sokongan kepada perhimpunan itu jika ia bertujuan melaga-lagakan Islam dengan penganut agama lain.

Yusri yang juga Presiden Institut Pengajian Strategi Islam memberitahu, Seketariat Himpun sendiri tidak menganggap masyarakat bukan Islam sebagai musuh, sebaliknya selagi mereka tidak menggugat akidah Islam, Himpun akan bersikap rasional terhadap mereka.

“Saya memberi jaminan perhimpunan ini tidak akan berlaku keganasan yang melanggar undang-undang dan perlembagaan negara,” tegasnya.

Yusri turut menolak agenda politik yang sempit mengaitkan Himpun dengan sesetengah parti politik di negara ini.

“Himpun ini seimbang, tidak berat kepada mana-mana ahli politik, dalam seketariat kami juga terdapat mereka daripada setiap parti,” tegasnya lagi sambil mengulas penyertaan Pemuda PAS.

“Kami sudah berhubung dengan mereka, setakat ini mereka akan bersama-sama kami, tapi masih lagi belum dikeluarkan kenyataan rasmi daripada peringkat pusat, tapi dari aspek penyertaan individu, saya rasa tiada masalah, itu yang lebih penting,” katanya yang optimis parti itu akan turut serta.

Tambah Yusri, pihaknya sengaja tidak meletakkan penyertaan parti politik sebagai agenda utama kerana mereka tidak mahu masyarakat tersalah anggap disebalik penganjuran perhimpunan ini.

“Kami berasa malu kepada negara-negara yang tidak mempunyai undang-undang khas berkenaan Islam sekiranya rakyat kita lemah mempertahankan agama Islam sedangkan kita diiktiraf sebagai negara Islam,” ujarnya mempertahankan tujuan perhimpunan ini dan menganggapnya kebangkitan natural umat Islam dalam memperjuangkan agama mereka.

“Bagi pertubuhan-pertubuhan dan NGO-NGO lain, jangan buat kenyataan dan kesimpulan melulu tanpa merujuk kepada kami. Hubungi kami sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perhimpunan ini, sertai kami, anda akan mendapat maklumat jelas,” tegasnya lagi.

Menurut beliau, seharusnya usaha ini didokong oleh kesemua pihak yang berkaitan kerana memelihara akidah umat Islam adalah satu tuntutan dalam agama Islam itu sendiri.

Tambah Yusri, matlamat jangka panjang Himpun adalah untuk menghasilkan deklarasi Himpun yang akan diserahkan kepada pemimpin politik, Raja-raja Melayu, dan juga pemimpin agama lain.

“Himpun berharap agar deklarasi ini akan dapat mempengaruhi penggubalan dasar dan undang-undang agar isu murtad ini menjadi sebahagian daripada undang-undang di negara ini,” katanya.

Tiada ulasan: