Jumaat, 26 Ogos 2011

Lynas: Kebimbangan penduduk wajar diteliti

Abd Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR: Biarpun terdapat pelbagai pandangan, namun pandangan pakar kesihatan awam bahawa projek loji Lynas di Gebeng, Kuantan tetap akan menjejaskan kesihatan orang ramai perlu diberikan perhatian serius, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Walaupun perlu dihormati pandangan (Ahli Parlimen Hulu Langat) Dr Che Rosli (Che Mat) yang merupakan seorang pakar dalam bidang nuklear mengenai tahap radiasi loji tersebut, tetapi kebimbangan penduduk setempat yang disokong oleh pandangan pakar kesihatan awam terhadap kesan loji tersebut ke atas mereka mestilah dikongsi bersama dan diberi perhatian serius," kata beliau.

Awal Julai lalu, pakar kesihatan awam, Dr Jayabalan menyifatkan projek memperoses nadir bumi itu tetap akan menjejaskan kesihatan orang ramai setelah ia beroperasi kelak.

Bercakap mengenai kesan radiasi daripada projek Lynas itu, beliau berkata, loji itu akan menghasilkan sekurang-kurangnya 20,000 tan sisa radioaktif setahun.

"Walaupun Lynas dan Badan Perlesenan Tenaga Atom (AELB) menyatakan tahap radiasi lebih rendah, tetapi ianya akan berbahaya apabila terkumpul dengan jumlah yang lebih banyak," kata Dr Jayabalan.

Selain pandangan pakar kesihatan awam, kata Mahfuz, rakyat negara ini terutama penduduk sekitar projek Lynas itu semakin bimbang apabila akhbar The New York Times melaporkan projek Lynas mengalami isu kejuruteraan dalam tangki simpanan, paip penghantar dan tapak kilang.

Menurut akhbar tersebut, masalah yang dihadapi oleh Lynas Advanced Material Plant (LAMP) itu termasuk dinding 70 tangki takungan didapati mengalami rekahan struktur, ketirisan dan terkandung poket udara, paip tidak memenuhi ketetapan piawaian, tapak tidak dapat menebat air, dan sebagainya.

Antaranya, paip keluli yang digunakan merupakan keluli biasa yang tidak dapat menahan kehausan dan kehakisan; tangki konkrit juga diperbuat oleh simen biasa dan bukan konkrit polimer lebih mahal yang bercampuran dengan bahan plastik; tapak simen kilang tersebut juga tidak dilitupi oleh penebat plastik bagi menghalang air dan kelembapan.

"Penekanan Lajnah Alam Sekitar PAS bahawa rakyat yang menentang projek itu tidak beremosi kosong amat penting untuk diberikan perhatian yang sepatutnya," kata Mahfuz lagi.

Beliau sependapat dengan pandangan Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS, Zulkefly Mohamad Omar bahawa rakyat yang membantah projek itu berpegang kepada kajian yang menyeluruh dan bersandarkan rujukan-rujukan yang tertentu sehingga terbukti bahawa salah satu isu yang dibangkitkan wakil penduduk setempat ialah mengenai ketiadaan pelan pengurusan sisa buangan diakui oleh panel Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sendiri sebagai salah satu penambahbaikan yang perlu disediakan oleh pihak Lynas dan AELB.

Tiada ulasan: