Isnin, 1 Ogos 2011

Didakwa Berlakon Sebagai Allahyarham Baharuddin Ahmad, Shuhardi Dipanggil Beri Keterangan

Ditulis oleh Shakira Buang


KUALA LUMPUR : Lelaki yang didakwa berlakon sebagai Allahyarham Baharuddin Ahmad yang meninggal dunia dalam perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara pada 9 Julai lalu, Shuhardi Md. Isa bersetuju untuk memberi keterangan kepada pihak polis mengenai kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, Shuhardi telah memaklumkan kepada polis bahawa beliau bersedia untuk memberi kerjasama dalam kes tersebut.

Untuk itu pihaknya akan memanggil Shuhardi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat di Ibu Pejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur, katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog mengenai isu keselamatan dengan pendudukBandar Sri Damansara, hari ini.

Semalam, Shuhardi membuat satu kenyataan media di ibu negara bagi menjelaskan bahawa beliau tidak bersembunyi, melarikan diri serta enggan bekerjasama dengan polis.

Sebaliknya Suhardi berkata, beliau tidak pernah menerima sebarang surat rasmi yang memintanya untuk menghadirkan diri bagi membantu siasatan dari mana-mana balai polis.

Malah, kekeliruan yang berlaku sebelum ini telahpun terlebih dulu dijelaskan oleh anaknya menerusi laman sosial facebook bahawa gambar yang dilaporkan itu bukanlah gambar Shuhardi yang pengsan ketika perhimpunan tersebut.

Bapa kepada dua isteri dan 10 anak itu juga menegaskan bahawa beliau tidak berkomplot dengan mana-mana pihak tertentu untuk melakonkan apa jua “aksi” dalam insiden terbabit dan beliau sendiri tidak mengenali Allahyarham Baharudin.
Namun, Khalid hari ini berkata Shuhardi sepatutnya datang berjumpa dengan pihaknya untuk memberi penjelasan apabila video mengenai dakwaanya itu tersebar luas.

"Dia sepatutnya datang bila videonya ditunjukkan, maka dia patut datang dan jelaskan keadaan," katanya.

Tiada ulasan: