Rabu, 15 Jun 2011

Pemuda PAS sedia sertai JK cegah rasuah sukan

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat amat bimbang dengan perkembangan isu rasuah sukan yang kini menjalar daripada bola sepak tanah air kepada sukan lain.

Ini, kata naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss seperti mana yang dilaporkan media berikutan berita pertandingan Hoki Piala Sultan Azlan Shah berlaku unsur rasuah dalam Pasukan Hoki Kebangsaan dan pendedahan penglibatan bookie rakyat luar dalam merasuah pemain bolasepak Piala Presiden baru-baru-baru ini.

“Kami tegaskan penyakit rasuah sukan ini yang sudah sampai ke tahap membimbangkan perlu kerjasama semua pihak bagi membanterasnya,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, Pemuda PAS juga telah mencadangkan agar satu badan khas ditubuh oleh setiap persatuan sukan bagi tujuan memberikan kaunseling dan didikan agama agar usaha pencegahan awal dapat dilakukan.

Katanya, selain usaha-usaha menghukum dijalankan, usaha pendidikan atau pembanterasan lebih awal dapat dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.

Bagi Pemuda PAS, ujarnya pencegahan rasuah sukan tidak terbatas dengan hanya memberikan pandangan dan juga cadangan tetapi mengharapkan tindakan susulan daripada pihak kerajaan di dalam bentuk pelaksanaan akan diteruskan.

“Kami bersedia jika diberikan kepercayaan daripada persatuan sukan untuk sama-sama duduk di dalam satu jawatankuasa bagi tujuan tersebut pada bila-bila masa sahaja.

“Justeru, kami mengharapkan inisiatif persatuan sukan agar menggerakkan pencegahan awal ini bagi menyelamatkan sukan daripada gejala perosak rasuah ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: