Aziz Muda |
KUALA LUMPURn: Peserta himpunan yang bakal hadir pada Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai nanti adalah seramai 300 ribu orang yang datang dari seluruh negara dengan membawa duit perbelanjaan masing-masing, sekurang-kurangnya RM100 seorang. Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat (gambar) berkata, dalam masa 3 jam sahaja, aliran tunai paling minima di kalangan peserta himpunan Bersih 2.0 adalah RM30 juta kerana mereka akan berbelanja seperti membeli makanan, minuman, pakaian dan lain-lain. "Bukan semua mereka berkenderaan ke Kuala Lumpur. Sebahagian besar mereka menaiki kenderaan awam. Oleh itu perkhidmatan bas, teksi, LRT dan lain-lain akan mendapat pulangan yang berganda. "Kenyataan yang menyatakan bahawa penjaja, peniaga dan pemandu teksi akan mengalami kerugian adalah hujah yang paling dangkal di abad ini," ujar beliau. Menurutnya, minda anak-anak muda diyakini sudah jauh terbuka terhadap himpunan aman, apabila masyarakat di tanah air kini sudah boleh menerima bahawa himpunan aman adalah satu keperluan kepada negara demokrasi seperti Malaysia. Katanya, pelancong-pelancong yang datang ke negara ini diyakini turut berpuas hati melihat himpunan yang diadakan itu kerana ia berlangsung dengan aman yang sekali gus menggambarkan keharmonian di tanah air. Beliau berkata, keadaan itu samalah juga seperti mereka melihat sambutan Maulidur Rasul dan perayaan Thaipusam di Batu Caves yang berlangsung dengan aman. Menurut beliau, oleh itu, pihak polis perlulah bekerjasama dengan penganjur bagi menjayakan aktiviti itu, dengan membuat reformasi dalam menguruskan himpunan aman tersebut. Katanya, jika pihak polis bersedia membuat reformasi dalam menguruskan himpunan aman itu, tiada kekacauan akan berlaku dan pihak polis akan dihormati oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa. "Semua pihak hendaklah saling hormat menghormati antara satu sama lain. Pihak kerajaan, Polis, Jawatankuasa Bersih 2.0, Perkasa, Pekida, parti-parti politik dan lain-lain pihak harus menghormati kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini. Sebagai contoh, menurut beliau, mengapa tidak pihak polis membuat reformasi dalam menguruskan peserta himpunan dengan meletakkan anggota polis di sepanjang jalan dari Jalan Chow Kit ke Istana Negara, dengan Ketua Polis Negara memandu Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga ke Istana Negara. Manakala di laluan yang lain, katanya, Timbalan Ketua Polis Negara pula mengiringi Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menuju ke Istana Negara. Ketua Penerangan Umno Malaysia, Datuk Ahmad Maslan seperti yang dilaporkan media tempatan baru-baru ini menyatakan bahawa Himpunan Bersih 2.0 akan menyusahkan rakyat, penjaja, peniaga dan pemandu teksi. Beliau turut menyifatkan himpunan itu adalah ancaman kepada ekonomi negara, khususnya industri pelancongan dan pelaburan asing. Menurut Suhaizan, perkara pertama yang wajib difahami oleh Datuk Ahmad Maslan adalah himpunan aman tanpa senjata adalah dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Malaysia. "Ini bermakna bahawa himpunan tanpa senjata adalah halal di sisi undang-undang negara. Semua warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama untuk hadir dalam himpunan aman," tegasnya. |
Rabu, 15 Jun 2011
RM30 juta aliran tunai peserta Bersih 2.0
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan