Isnin, 9 Mei 2011

SPR Jangan guna persempadanan untuk manipulasi undi – Fuziah

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diingat agar tidak menggunakan persempadanan semula kawasan pilihan raya untuk manipulasi undi yang memihak kepada Umno-Barisan Nasional.

Demikian dinyatakan Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh sewaktu mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa suruhanjaya itu sedang membuat kajian awal persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Abdul Aziz memberi alasan persempadanan itu perlu dilakukan kerana tempoh lapan tahun selepas kali terakhir persempadanan semula kawasan pilihan raya tamat 21 Mac lepas.

Menurut Fuziah, persempadanan semula pilihan raya hanya boleh dilakukan dengan syarat jumlah kerusi di Parlimen juga ditambah pada masa yang sama.

Penambahan kerusi juga hanya boleh dilakukan jika SPR berjaya membuktikan jumlah penduduk dalam sesuatu kawasan bertambah.

“Misalnya kawasan A ada 75 ribu penduduk dan kawasan B juga ada 75 ribu penduduk, maka kita boleh tambah lagi satu kawasan kerusi agar setiap kerusi Parlimen ada kira-kira 50 ribu penduduk.Hanya jika kerusi ditambah, baru lah persempadanan semula boleh dilakukan,” kata Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Bagaimanapun katanya, BN berkemungkinan besar tidak akan memperolehi cukup sokongan untuk berbuat demikian.

“Untuk menambah jumlah kerusi ia memerlukan sokongan dua pertiga dari Ahli Parlimen dan saya tidak rasa mereka (BN ) akan mampu berbuat demikian,” ujarnya.

Tambahnya, seandainya SPR tetap ingin melakukan persempadanan semula tanpa penambahan kerusi, ia tidak mustahil merupakan satu lagi manipulasi undi oleh BN.

“Kita khuatir jika ia benar-benar dilaksanakan, ia merupakan penyalahgunaan undang-undang untuk memastikan BN terus berkuasa.

“Justeru, saya ingatkan SPR agar tidak melakukan sebarang ‘gerrymandering’ untuk memberikan kelebihan yang tidak adil kepada BN,” kata Fuziah.

Bercakap lebih lanjut, Fuziah berkata beliau berani membuat dakwaan itu kerana terdapat bukti SPR cuba memindahkan pengundi pada pilihan raya kecil sebelum ini, demi memastikan kemenangan Umno-BN.

“Pilihan raya kecil Hulu Selangor yang lepas, Kampung Tanjung yang merupakan kubu kuat Pakatan Rakyat dipindahkan secara senyap-senyap ke Parlimen Selayang (demi memastikan BN menang).

“Malah, pada tahun 2004 juga, kem tentera Batu 9 di Kuantan yang terdapat lebih 10,000 anggota tentera udara dipindah ke Parlimen Pekan yang merupakan kawasan Parlimen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” kata Fuziah.

Menurutnya lagi, KEADILAN kini juga mendapat laporan kira-kira 14,000 pengundi di Selangor ditukarkan daerah mengundi tanpa pengetahuan mereka sendiri.

“Pengundi akan kecewa dan bosan kerana mereka ditukar tempat mengundi sesuka hati dan ini mungkin memberi kesan kepada Pakatan Rakyat,” kata Fuziah.

Tiada ulasan: