Isnin, 2 Mei 2011

Soi Lek dinasihat fokus ‘nasib’ MCA, bukannya heret PAS


KUALA LUMPUR — Kepimpinan PAS pusat menggesa Datuk Seri Dr Chua Soi Lek agar menjaga urusan dalaman MCA, bukannya mengheret masalah dihadapi komponen BN berkenaan ke atas parti Islam itu menjelang pilihan raya umum ke-13 sekarang.

Sehubungan itu, anggota biro politik PAS ini berkata, beliau juga ragu-ragu sama ada Presiden MCA itu benar-benar faham apa yang beliau memperkatakan apabila mendakwa MCA tidak akan menerima PAS menyertai BN selagi tidak menggugurkan dasar Islamnya.

“Saya ragu-ragu sama ada CSL (Chua Soi Lek) tahu apa yang beliau cakap,” kata beliau dalam reaksi dihantar menerusi teks SMS.

Semalam, Dr Chua berkata pihaknya akan menutup pintu menyertai BN kepada PAS kecuali ia sanggup menggugurkan prinsip-prinsip negara Islamnya terlebih dahulu.

Dr Chua berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedar bahawa partinya tidak akan menerima PAS menukar Malaysia menjadi sebuah negara Islam.

“Pendirian MCA adalah sangat jelas bahawa kami tidak akan menerima PAS dalam usaha mereka menjadikan negara ini negara Islam. Kami tidak akan menerima yang itu dan Perdana Menteri juga memang sedar akan pendirian MCA ini,” kata beliau.

“Mereka boleh menyertai BN jika mereka sanggup menggugurkan dasar menjadikan negara ini sebagai negara Islam,” kata Dr Chua mengulas pelawaan Najib kepada PAS kelmarin.

Khalid (gambar), yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam dan Ahli Parlimen kawasan itu berkata, PAS tidak pernah membentangkan matlamatnya kepada Dr Chua yang hanya memperlihatkan sedikit minat ataupun sama sekali tidak untuk mengetahui soal itu.

“Apa yang beliau bayangkan sebagai matlamat politik PAS kemungkinan bukan apa yang ada pada PAS,” kata Khalid sambil menambah, sebelum meletakkan syarat untuk menerima PAS, Dr Chua wajar memastikan sama ada ia benar-benar berminat untuk diterima MCA dan beliau juga benar-benar tahu apa yang diperkatakannya.

Justeru Khalid menambah, Dr Chua seharusnya memberi tumpuan ke atas kemerosotan populariti MCA di kalangan komuniti Cina berbanding keperlun PAS diterima oleh MCA.

Katanya, jika MCA sudah ditolak oleh komuniti Cina sendiri, maka soal suka atau tidak suka dan keutamaannya tidak menjadi keprihatinan mana-mana pihak kecuali parti itu sendiri.

Malah tegas Khalid, Umno selaku parti teras BN sendiri tidak lagi memberi tumpuan ke atas MCA.

Pemimpin-pemimpin kanan PAS termasuk Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri telah menolak bulat-bulat pelawaan Najib.

Tiada ulasan: