Sabtu, 21 Mei 2011

Simbah asid: Polis beri amaran jangan sebar maklumat palsu

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Polis memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak mereka cerita dan terus menyebarkan maklumat palsu mengenai kes simbah asid yang dilaporkan berlaku di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Kuala Lumpur yang juga Pengarah Logistik Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah berkata, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya penyebaran maklumat palsu itu mewujudkan kegusaran masyarakat.

“Ini perbuatan yang boleh disifatkan sebagai nakal melampau dan menyusahkan orang... ia hanya akan menambah ketakutan kepada masyarakat dan menimbulkan suasana tegang serta menggugat ketenteraman awam.

“Maka saya hendak memberi amaran kepada mereka ini agar hentikan perbuatan tidak bertanggungjawab itu atau bersedia berhadapan dengan tindakan,” katanya dipetik Bernama Online.

Penyebaran maklumat palsu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), laman sosial seperti Twitter dan Facebook semakin berleluasa termasuk dikatakan berlaku dua kes simbah asid di Shah Alam, semalam, sedangkan ia hanya berita palsu.

Dalam perkembangan kes kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed pada 6 April lepas, Zulkifli berkata pihaknya masih menunggu keputusan daripada pihak Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya.

Tiada ulasan: